Pilihan raya umum Thailand 24 Mac depan - Utusan Malaysia

Pilihan raya umum Thailand 24 Mac depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 23 JAN. – SETELAH hampir enam kali ditunda sejak 2015, Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand akhirnya menjadi kenyataan tahun ini setelah Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn mengeluarkan dekri diraja meluluskan proses pemilihan pertama sejak tentera merampas kuasa pada 2014, hari ini.

Menurut pihak istana, dekri yang diterbitkan dalam Warta Diraja itu mengarahkan pilihan raya diadakan segera bagi memilih anggota Parlimen baharu setelah tertangguh selepas bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra digulingkan.

Ekoran dekri diraja itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand dalam kenyataannya berkata, PRU

Memuatkan artikel berkaitan…

Thailand akan diadakan pada 24 Mac ini.

Kerajaan junta sebelum ini berkata, pilihan raya umum akan diadakan selewat-lewatnya Februari depan namun mungkin ditangguhkan beberapa minggu kerana perlu mendapatkan persetujuan Raja Maha Vajiralongkorn.

Keputusan berkenaan secara tidak langsung membolehkan kempen pilihan raya dimulakan secara rasmi walaupun terdapat kemungkinan muncul pelbagai parti baharu termasuk yang berkaitan dengan tentera selain keluarga Shinawatra.

Penganalisis Thailand mendakwa, tentera akan kembali menyertai kerajaan melalui parti proksi dengan pemimpin junta, Prayut Chan-O-Cha akan memainkan peranan sebagai pemimpin awam selepas pilihan raya.

Parti Phalang Pracharath yang mempunyai kaitan de­ngan tentera dan diketuai oleh anggota Kabinet junta dilapor mengadakan pengambilan ahli baharu di kubu kuat Yingluck dan abangnya, Thaksin yang juga digulingkan pada 2006.

Namun masih timbul persoalan sama ada parti utama Shinawatra, Pheu Thai masih mampu menarik kesetiaan pengundi mereka di utara dan timur laut Thailand serta golongan miskin tanpa pengaruh dua beradik tersebut yang kini hidup dalam buangan di luar negara.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan, Prayut mengumumkan bersedia mempertimbangkan untuk menyertai mana-mana parti tanpa mening­galkan dasar yang telah dibuat kerajaan ketika ini.

“Bagaimanapun parti politik mesti menjemput saya (me­nyertai) terlebih dahulu. Sama ada saya akan menerimanya atau tidak, itu cerita lain.

“Jika saya membuat keputusan untuk kekal (dalam politik) meneruskan tanggungjawab, saya perlu memilih parti yang berdedikasi, tidak memen­tingkan diri dan berazam untuk mengubah negara ke arah lebih baik dan bukan bertujuan untuk membatalkan apa yang telah dimulakan kerajaan,” kata Perdana Menteri itu.

Tambahnya, beliau masih belum mendapat tawaran untuk menyertai Parti Palang Pracha­rath. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×