PORT DICKSON 23 Jan. – Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 15.01 gram dalam serbuan di sebuah rumah di Perumahan Rakyat Jalan Pantai Baru 8, di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis daerah, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 29 hingga 34 tahun diberkas sepasukan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis daerah kira-kira pukul 3.30 pagi.
“Pihak polis berjaya menahan tiga suspek yang ketika itu berada di ruang tamu rumah. Berlaku sedikit pergelutan kerana suspek cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas.
“Pemeriksaan terhadap suspek menemukan sebuah beg silang berwarna coklat dan putih mengandungi 10 beg kecil berwarna coklat. Di dalamnya terdapat enam paket plastik lut sinar berisi bahan ketulan kelabu disyaki dadah jenis heroin seberat 15.01 gram dan tiga tiub straw,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, pihak polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Sports 110SD.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-ketiga suspek positif morfin dan mereka turut memiliki rekod jenayah berkaitan dadah.
Beliau memberitahu, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Januari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. – UTUSAN ONLINE











