PUTRAJAYA – Tiga agensi penarafan antarabangsa terbesar dunia iaitu Moody’s, Fitch Ratings dan S&P Global Ratings mengekalkan penarafan kredit Malaysia.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Moody’s dalam laporan pada Januari ini menyatakan pertumbuhan ekonomi negara akan terus berkembang secara lebih kukuh berbanding negara yang mempunyai penarafan A.
Jelasnya, menerusi laporan itu, kepelbagaian dan kekukuhan ekonomi Malaysia dapat mengurangkan sebahagian daripada kesan negatif paras hutang yang tinggi.
“Laporan ini dikeluarkan selepas Moody’s pada 7 Disember tahun lalu memutuskan untuk mengekalkan kredit Kerajaan Malaysia pada taraf A3 berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, pasaran modal tempatan yang mendalam serta rangka kerja institusi yang meyakinkan.
“Agensi tersebut juga menekankan kemungkinan penarafan kredit Malaysia berubah dalam masa terdekat adalah rendah dan ini akan meyakinkan pelabur dan komuniti perniagaan terhadap ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Guan Eng, Fitch Ratings pula dalam laporan bertajuk Malaysia Budget Balances Wider Deficit with Transparency menekankan Belanjawan 2019 memenuhi sasaran konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana.
Jelasnya, agensi itu menjangkakan kadar hutang akan menurun dalam masa beberapa tahun akan datang jika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara amnya berkembang pada kadar 4.9 peratus bagi tahun 2019 dan 5 peratus tahun 2020 seperti yang dikongsi oleh pihak kerajaan.
“S&P Global Ratings melaporkan komitmen kerajaan terhadap konsolidasi fiskal boleh dipercayai manakala tekanan kewangan seperti pembayaran rebat Cukai Barang dan Perkhidmatan akan beransur pulih selepas 2019.”
“S&P juga telah mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada A-,” katanya.
Ujar Guan Eng, agensi-agensi penarafan sebelum ini telah menyatakan kebimbangan tentang asas pendapatan yang berkurangan selepas GST dimansuhkan dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Tambahnya, perkara itu sedang diatasi dan kesan usaha-usaha yang diambil dapat dilihat melalui pengutipan cukai langsung tahun 2018 yang memberangsangkan dan telah meningkat RM13.7 bilion atau 11.1 peratus dari tahun ke tahun kepada paras tertinggi RM137.0 bilion setahun. – K! ONLINE










