LPG, tong gas bersubsidi bernilai RM50,000 dirampas - Utusan Malaysia

LPG, tong gas bersubsidi bernilai RM50,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebanyak 127 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 50 kilogram (kg) dan 192 tong gas 14 kg bersubsidi bernilai lebih RM50,000 di sebuah stor haram di Taman Desa Air Hitam di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Sepang, Mohd. Nor Iskandar Zainoor, rampasan itu dijalankan selepas pihaknya melakukan serbuan pada pukul 10 pagi di stor itu selepas melakukan risikan selama hampir sebulan.

Jelasnya, stor pemindahan gas bersubsidi yang terletak bersebelahan taman perumahan itu beroperasi secara haram dan berselindung di sebalik sebuah kandang lembu bagi mengaburi mata pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Hasil pemeriksaan mendapati premis yang dijadikan pusat pemindahan barang kawalan LPG itu tidak memiliki lesen borong atau runcit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“Premis ini dipercayai beroperasi sejak awal tahun lalu sebagai pusat pemindahan LPG bersubsidi kepada industri untuk edaran di sekitar Puchong dan Lembah Klang. Dalam serbuan itu, kita turut merampas sebuah lori tiga tan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, tiada sebarang tangkapan dibuat dalam seebuan itu berikutan pekerja dan pemilik premis sempat melarikan diri.

Menurut Mohd. Nor Iskandar, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM100,000 dan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik premis berdasarkan maklumat yang diperolehi termasuk melalui pendaftaran lori yang dirampas.

“Siasatan awal mendapati stor haram berkenaan dimiliki oleh penduduk setempat dan modus operandi mereka ialah melakukan pemindahan gas secara tradisional yang boleh mengundang bahaya sekiranya berlaku kebocoran,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memindahkan barang kawalan dari premis dilesenkan kepada premis tidak dilesenkan yang mana jika sabit kesalahan syarikat terbabit boleh didenda maksimum RM2 juta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×