PUCHONG 23 Jan. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebanyak 127 tong gas petroleum cecair (LPG) 50 kilogram (kg) dan 192 tong gas 14 kg bersubsidi bernilai lebih RM50,000 di sebuah stor haram di Taman Desa Air Hitam di sini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Sepang, Mohd. Nor Iskandar Zainoor, rampasan itu dibuat selepas pihaknya melakukan serbuan di stor terbabit pada pukul 10 pagi ini dengan kekuatan 10 anggota penguat kuasa selepas melakukan risikan selama hampir sebulan.
Beliau berkata, stor pemindahan gas bersubsidi yang terletak bersebelahan taman perumahan itu beroperasi secara haram dan berselindung di sebalik sebuah kandang lembu bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Hasil pemeriksaan mendapati premis yang dijadikan pusat pemindahan barang kawalan LPG itu tidak memiliki lesen borong atau runcit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia. Tiada tangkapan dibuat dalam kes ini kerana pekerja dan pemilik premis sempat melarikan diri.
“Premis ini dipercayai beroperasi sejak awal tahun lalu sebagai pusat pemindahan LPG bersubsidi kepada industri untuk edaran di sekitar Puchong dan Lembah Kelang. Dalam serbuan ini kita turut merampas sebuah lori tiga tan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nor Iskandar memaklumkan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM100,000 dan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik premis berdasarkan maklumat yang diperolehi termasuk melalui pendaftaran lori yang dirampas.
Selain itu katanya, siasatan awal mendapati stor haram berkenaan dimiliki oleh penduduk setempat dan modus operandi mereka ialah melakukan pemindahan gas secara tradisional yang boleh mengundang bahaya sekiranya berlaku kebocoran.
“Operasi ini merupakan yang pertama dilakukan pada tahun ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memindahkan barang kawalan dari premis dilesenkan kepada premis tidak dilesenkan yang mana jika sabit kesalahan syarikat terbabit boleh didenda maksimum RM2 juta,” katanya. – UTUSAN ONLINE










