Kilang kopi diserbu 9,565 paket serbuk kopi dirampas - Utusan Malaysia

Kilang kopi diserbu 9,565 paket serbuk kopi dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 23 Jan. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kemaman menyerbu sebuah kilang memproses kopi di daerah ini semalam dan merampas 9,565 paket serbuk kopi bernilai RM13,108.

Serbuan dalam Operasi Bersepadu Halal selama enam jam berakhir 5 petang itu turut merampas alat timbang bernilai RM50.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, Zulfahmy Mat Udi berkata, operasi itu turut disertai wakil jabatan dan agensi penguatkuasa daerah ini termasuk Pejabat Kesihatan daerah, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kilang memproses serbuk kopi itu diserbu kerana gagal menunjukkan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri.

” Kami dapati sijil halal yang digunakan di premis ini telah tamat tempoh sejak tahun 2016 dan tujuan kami adakan operasi ini untuk mendidik para peniaga agar patuhi undang-undang selain beri kesedaran kepada pengguna,” katanya dalam sidang media di pejabat KPDNHEP Cawangan Kemaman di sini hari ini.

Hadir sama, Penolong Pesuruhjaya JHEAT, Syed Nazmi Tuan Taufek; Ketua Cawangan KPDNHEP Kemaman, Azahar Mohd. Zain dan Penolong Pegawai Penguatkuasa MPK, Mohd. Mohsin Ahmad Affendi.

Zulfahmy berkata, dalam operasi itu, sebanyak 13 buah premis perniagaan makanan dan minuman di sekitar Bandar Cukai turut diperiksa dengan tumpuan kepada restoran yang menggunakan logo halal serta ayat al-Quran.

Tambahnya, kes disiasat termasuk di bawah Perintah 4 Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×