TAMPIN – Seorang pesakit kanser perut tahap dua diberkas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam satu operasi di Gemas dekat sini hari ini selepas dia didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu.
Pengarah AADK Negeri Sembilan, Nazira Sadiron berkata, lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai mengidap kanser sejak tahun lalu itu ditahan di rumah keluarganya dalam satu operasi waran kira-kira pukul 1 pagi.
“Dia yang tidak bekerja tinggal berdua bersama ibunya. Ujian saringan air kencing ke atasnya positif dadah jenis syabu. Dia dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak tahun lalu.
“Dia mendakwa mengambil dadah disebabkan penderitaan menghidapi kanser perut. Dia menyatakan dengan menghisap dadah syabu dapat menghilangkan penderitaannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Nazira berkata, perbuatan lelaki itu menghisap syabu untuk menahan kesakitan adalah salah kerana ia cuma melarikan dirinya daripada realiti dia sedang menanggung sakit akibat kanser.
Kata beliau, syabu yang boleh didapati secara haram pada harga RM50 hingga RM60 sepeket merupakan dadah sintetik yang meningkatkan keseronokan kerana peningkatan dopamin dalam otak.
Bagaimanapun, kata beliau, keseronokan itu akan hanya dirasai pada peringkat awal sebelum tingkah laku penghisap syabu berubah menjadi agresif apabila ketagihan mula berlaku.
“Penagih syabu juga akan berubah menjadi kurus dalam tempoh yang amat singkat. Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, seorang lelaki lain berusia 35 tahun ditahan AADK Tampin dibawah seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dalam operasi sama di lokasi berasingan.
“Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah dapat menyalurkan maklumat kepada AADK,” katanya. – K! ONLINE










