PENDANG 23 Jan. – Penduduk di daerah ini merayu pihak pengurusan CIMB Bank mempertimbangkan agar tidak menutup dan memindahkan operasi cawangan bank berkenaan ke Guar Chempedak yang terletak kira-kira 30 kilometer dari situ.
Pelanggan yang juga penduduk tempatan, Datuk Othman Abdul berkata, ini kerana rata-rata penduduk mahu CIMB cawangan Pendang dikekalkan kerana ia satu kemudahan yang sangat penting untuk rakyat Pendang.
“CIMB cawangan tersebut mempunyai ramai pelanggan yang juga datang dari Gajah Puteh di Sik dan Lubuk Merbau, Padang Terap.
“Oleh itu, kita berharap pihak pengurusan tertinggi CIMB Bank mempertimbangkan semula cadangan penutupan CIMB Cawangan Pendang demi kepentingan rakyat,” katanya dalam Facebook miliknya di sini hari ini.
CIMB Cawangan Pendang akan menutup operasi mulai April depan dan bakal memindahkan operasi ke Guar Chempedak yang terletak dalam daerah Yan.
Dalam pada itu, seorang pelanggan, Rosliza Abdul Halim, 33, turut mempersoalkan tindakan bank berkenaan meskipun terdapat ramai pendeposit dari kawasan sekitar.
“CIMB Bank penting di sini kerana Pendang sudah menjadi pusat tumpuan rakyat untuk berurusan, tidak sepatutnya ia dipindahkan ke tempat lain yang agak jauh dari Pendang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










