Bersihkan sisa plastik jika tidak mahu tanah dirampas - Utusan Malaysia

Bersihkan sisa plastik jika tidak mahu tanah dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Kerajaan negeri akan merampas tanah terhadap mana-mana pemilik yang gagal melakukan kerja pembersihan sisa plastik selepas tanah yang disewakan kepada pengusaha kilang plastik haram sebelum ini telah dikenakan tindakan sita.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, pihaknya memberi tempoh masa tiga bulan kepada semua pemilik tanah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan itu.

Beliau berkata, selepas tempoh terbabit, tindakan merampas tanah akan dilakukan kepada pemilik tanah yang masih berdegil dengan arahan terbabit.

“Notis 7B telah diberikan kepada beberapa pengusaha kilang dan pemilik tanah yang didapati menyalahgunakan tanah. Sekiranya tuan tanah gagal membersihkan atau memulihkan tanah itu, mereka akan berdepan tindakan tanah dirampas.

“Saya rasa tempoh tersebut mencukupi dan tiada kompromi lagi selepas ini kerana perkara ini telah kita putuskan dalam mesyuarat kerajaan negeri sebelum ini,”katanya ketika ditemui selepas menyertai operasi kilang plastik haram di sekitar Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Shafe’ee Yasin dan Pengarah Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azhar Samsudin.

Sze Han menjelaskan untuk daerah Kuala Langat, sebanyak 33 daripada 35 buah kilang plastik haram yang sebelum ini telah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa telah pun melakukan kerja-kerja pembersihan sisa plastik.

Sementara itu, beliau menegaskan sehingga hari ini sebanyak 104 buah kilang plastik haram di negeri ini telah ditutup melibatkan dua daerah iaitu Klang (66) dan Kuala Langat (33).

“Lima lagi kita berjaya serbu dan tutup hari ini iaitu sekitar Telok Gong menjadikan jumlah keseluruhan kilang haram yang telah ditutup di negeri ini adalah sebanyak 104 buah,” katanya. – K! ONLINE

plastikSeorang penguatkuasa MPK melihat sisa plastik di salah sebuah kilang dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Kilang Plastik Tanpa Lesen di Telok Gong hari ini. Foto oleh MOHD. SHAHARANI SAIBI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×