SEBERANG PERAI – Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terhumban ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang pada Ahad lalu menyerah diri hari ini ke balai polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemandu berusia 21 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT kira-kira pukul 2 pagi tadi.
“Pemandu berkenaan yang bekerja sebagai pendandan rambut datang ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dengan dibawa oleh ahli keluarganya.
“Dia ditahan bagi membantu siasatan dan dijangka dilepaskan selepas diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Menurut Nik Ros Azhan, sehingga kini sebanyak 15 rakaman percakapan telah diambil terdiri daripada angggota keluarga, saksi kejadian dan rakan-rakan mangsa.
Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, SUV jenis Mazda CX5 itu berjaya dibawa naik dari dasar laut kira-kira pukul 6.10 petang semalam dan mayat mangsa, Moey Yun Peng, 20, didapati masih berada di dalam kenderaan itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi Ahad lalu, SUV dipandu mangsa terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vios di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Perai dekat sini – K! ONLINE










