Keindahan tema The Universe yang mewarnai majlis resepsi perkahwinan Dr. Farid Razali dan pasangannya, Dr. Fazliana Abd. Rashid di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini ternyata memukau tetamu. Hasil sentuhan syarikat perunding perkahwinan, Rekateemor itu berjaya mencuri tumpuan setiap tetamu yang hadir.
Memiliki nama yang gah dalam dekorasi majlis perkahwinan, Rekateemor pernah menjadi sebutan ramai lantaran tema kayangan yang digubah untuk majlis perkahwinan selebriti terkenal tanah air, Fattah Amin dan Fazura.
Dengan menyuntik elemen kisah dongeng pada setiap perincian dekorasi pasangan merpati dua sejoli itu, ia sudah cukup menghangatkan ikatan cinta yang kian mekar.
Menyelami sentuhan ‘magis’ bak kayangan, pereka majlis, perancang dan dekorasi Rekateemor berkongsi pengalaman mereka saat mengorak langkah membangunkan jenama Rekateemor.
Pemiliknya adalah pasangan suami isteri, Faiz Sabari, 47, dan Rozana Mumtaz Md. Ashraff, 41. Mereka berpendapat setiap rekaan mestilah mempunyai ‘jiwa’.
“Ilham datang melalui pelbagai cara termasuk melalui pembacaan, pengembaraan dan adakalanya datang melalui pelanggan kami yang sudah mempunyai ‘dream wedding’ mereka sendiri,” kata Rozana.
Katanya lagi, setelah lima tahun syarikat itu beroperasi, tempahan yang diterima semakin meningkat yang mana cerita tentang keunikan hasil sentuhan mereka disebarkan melalui mulut ke mulut.
“Kebanyakan pelanggan mencadangkan perkhidmatan kami kepada rakan-rakan mereka,” kata Faiz yang turut memberitahu perjalanan kerjaya mereka tidak mudah.
Menurutnya, banyak cabaran yang terpaksa mereka hadapi seperti kesempitan wang.
“Itu belum termasuk melayan kerenah pelanggan yang enggan membayar keseluruhan caj, idea dekorasi ditiru, pekerja cabut lari dan kos terlampau tinggi untuk memenuhi impian pengantin,” ujar Faiz yang pernah berkhidmat sebagai pereka grafik di pusat beli-belah Parkson dan NTV7.
Namun katanya, apa yang paling mencabar adalah pelanggan enggan melunaskan bayaran walaupun majlis telah berlangsung dengan jayanya.
“Nasihat saya kepada anak muda yang takut untuk memulakan bisnes adalah sentiasa bersedia dengan segala kepayahan.
“Jangan sia-siakan waktu muda dengan hanya memikirkan keseronokan yang melekakan. Buang alasan malas untuk merebut peluang kejayaan. Selain itu, jangan malu untuk melakukan pekerjaan buruh kasar dan jangan membangga diri,” pesannya ikhlas.
Mungkin ada tertanya-tanya tentang resipi kejayaan Rekateemor sehinggakan apa sahaja dekorasi yang dihasilkan menjadi bualan ramai. Kata Faiz, mereka sentiasa bersederhana dalam setiap perkara dan bermotivasi dalam menghasilkan rekaan.
Sejak berada dalam industri perkhidmatan itu selama 14 tahun, pelbagai tema telah dihasilkan antaranya tradisional, moden, taman, retro, budaya, glamor dan kontemporari selain mengikut konsep idaman pelanggan.
“Tip memilih pelamin yang menarik adalah bijak memadankan kombinasi warna bagi menghidupkan suasana majlis. Biasanya, kami pilih warna lembut selain memastikan susunan dan gubahan bunga kemas,”katanya sambil memberitahu harga yang ditawarkan bermula daripada RM20,000.
Mengulas impian, Faiz berkata, mereka mahu memiliki dewan majlis sendiri.










