Sukarelawan hospital bantu pesakit - Utusan Malaysia

Sukarelawan hospital bantu pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN rata-rata masyarakat menganggap keperluan untuk pesakit yang disediakan oleh kakitangan hospital sudah cukup lengkap untuk meredakan kesakitan mereka, namun ada pesakit yang memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan yang terpendam.

Memahami kehendak itu, terdapat segelintir golongan yang prihatin ‘mencuri’ waktu lapang untuk bersama-sama memberikan sokongan dari segi moral dan bantuan fizikal kepada pesakit berkenaan.

Dalam hal ini, pertubuhan Sukarelawan Hospital Sungai Buloh komited membantu pesakit dari segi khidmat nasihat dan sokongan melalui program diet dan penyusuan bayi.

Program ini aktif dijalankan di sekitar wad termasuk wad kecemasan, wad bersalin dan wad ortopedik.

Menurut Pengerusi Sukare­lawan Hospital Sungai Buloh, Datin Seri Zubedah Hazabollah, pertubuhan ini merupakan satu-satunya di bawah Kementerian Kesihatan.

“Pada awal penubuhan, kami mendapat sokongan daripada bekas Pengarah Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr. Khalid Ibrahim dan Jabatan Kerja Sosial Hospital Sungai Buloh,” katanya kepada Mega Rona.

Setakat ini, jumlah ahli pertubuhan adalah seramai 150 orang dengan ahli yang aktif menjalankan tugas sebagai sukarelawan seramai 25 orang. Kebanyakan mereka terdiri daripada suri rumah dan pesara.

Mengulas kerja-kerja amal yang dilakukan, kata Zubedah, mereka menyediakan hidangan yang sesuai untuk diet pesakit khususnya menu sihat untuk makan tengah hari.

“Kami akan menyajikan makanan dan ada pesakit perlu disuapkan makanan dek kerana ketidakupayaan mereka untuk menjamah sendiri makanan.

“Bagi wad bersalin pula, hanya sukarelawan wanita dibenarkan masuk dan kami membantu mengajar ibu-ibu muda untuk menyusukan bayi mereka buat pertama kali,” ujarnya yang turut teruja saat melakukan aktiviti kebajikan ini.

Di pekarangan wad ortopedik pula, sukarelawan lelaki dilihat mengendalikan khidmat luahan perasaan. Kira-kira 10 minit waktu diperlukan untuk membuatkan pesakit berasa selesa berkomunikasi dengan sukarelawan.

“Siapa tahu, satu hari nanti kita jatuh sakit dan mungkin kita akan menjadi seperti mereka. Jadi, peluang inilah yang kita ambil bagi mengetahui tentang apa yang mereka rasa,” katanya.

Tambahnya, kebiasaannya apabila sakit, seseorang akan menjadi lebih sensitif.

“Kalau boleh kita nak ada tempat untuk mengadu dan bercakap dengan seseorang walaupun sekejap,”katanya.

Dalam pada itu, pertubuhan ini turut giat menjalankan program kemasyarakatan seperti berkhatan dan program ziarah amal yang dijalankan empat kali setahun.

“Baru-baru ini kami mengadakan program Sunathon dan Ziarah Amal di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan. Dalam program itu aktiviti berkhatan melibatkan 15 kanak-kanak bagi setiap sesi setiap hari.

“Bantuan kesihatan yang diberikan adalah pemeriksaan percuma. Setiap kali mengikuti program luar bagi khidmat masyarakat, kami akan bawa pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh untuk turut serta mengikuti pemeriksaan tersebut,”tambahnya.

Mereka turut menerima bantuan daripada pihak korporat untuk menyalurkan sumbangan khas program baju raya dan pakaian sekolah kepada golongan memerlukan.

“Apabila sukarelawan mem­buat lawatan ziarah, keba­nyakan pesakit terharu dan berasakan masih ada yang sayang kepada mereka. Mungkin mereka tidak punya wang ringgit, tetapi dari segi keselesaan ia dapat membantu pesakit berasa lebih sihat dan cergas,” ujarnya.

Sebagai sukarelawan katanya, kerja-kerja amal itu memberikan keinsafan kepada diri sendiri.

“Kita juga manusia dan tidak semua manusia dilahirkan sempurna,” katanya yang turut memberitahu bahawa majlis konvesyen sukarelawan seluruh negeri Selangor bakal diadakan pada Mac ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×