SINGAPURA 22 Jan. – Lanun dalam talian di rantau Asia Tenggara yang menjana pendapatan menerusi jualan akses tidak sah melibatkan kandungan berkaitan Liga Perdana Inggeris bakal berdepan bahaya.
Bahaya yang dimaksudkan ialah mereka boleh berdepan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih berat atas kesalahan berkenaan.
Pihak Liga Perdana Inggeris telah membuka pejabat antarabangsa mereka yang pertama di Singapura dan Pengarah Khidmat Undang-undang, Kevin Plumb berkata, objektif utama mereka kini adalah untuk membantu menentang lanun dalam talian di peringkat rantau ini.
“Kami ada di sini bukan sekadar berada di sini begitu sahaja tetapi akan melaksanakan penguatkuasaan.
“Pihak Kami juga di UK (United Kingdom) telah meningkatkan langkah penguatkuasaan kepada mereka yang melanggar hak cipta berkaitan isi kandungan tidak sah,” kata Plumb ketika ditemuramah Channel NewsAsia. – AGENSI











