KANGAR: Dalam cubaan pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tewas di kesemua tujuh kerusi yang ditandingi mereka di Perlis sekali gus memberi gambaran awal pada masa itu bahawa parti tersebut belum mendapat tempat di negeri ini.
Pada pilihan raya tersebut, Bersatu tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Guar Sanji, Mata Ayer, Tambun Tulang, Kayang selain Parlimen Padang Besar dan Arau dengan kesemua kawasan terbabit adalah kubu kuat UMNO sejak sekian lama kecuali Guar Sanji yang menjadi milik Pas.
Sebelum ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri memberi gambaran kekal bertanding di 10 DUN dan dua Parlimen yang dimenangi mereka sebelum ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pas pula dilihat optimis kekal bertanding di dua kerusi DUN iaitu Guar Sanji dan Sanglang yang dimenangi dalam PRU-14 selain mengintai beberapa lagi kerusi milik PKR dalam pilihan raya lalu, seperti Sena, Kuala Perlis dan Indera Kayangan.
Persoalan kini, apakah Bersatu diberi ruang oleh UMNO dan Pas iaitu dua parti yang cukup dominan di Perlis untuk sekurang-kurangnya bertanding di beberapa kerusi di negeri ini dalam pilihan raya akan datang.
UMNO sedar, kerusi yang mereka menangi sebelum ini adalah kubu kuat parti itu dan dijangka tidak ada masalah untuk kekal menang dalam pilihan raya nanti. Sanggupkah UMNO berkorban kerusi untuk Bersatu?
Di Perlis, kerjasama antara UMNO dan Bersatu dikatakan masih longgar yang mana gerak kerja ata program-program yang diadakan masih bergerak sendiri. Manakala akar umbi dilihat belum boleh menerima sepenuhnya lagi kerjasama dua parti itu.
Ia berbeza dengan Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO yang semakin kukuh dan sudah boleh diterima oleh akar umbi kedua-dua pihak.
Menyentuh soal itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, di Perlis ini, sebaik-baiknya laluan diberikan kepada UMNO dan Pas kerana Bersatu dilihat agar sukar untuk mendapat tempat di negeri ini.
Katanya, Perlis hanya mempunyai tiga Parlimen serta 15 DUN dan agar sukar untuk UMNO mengorbankan kebanyakan kerusi yang sudah cukup sinonim dengan mereka sejak sekian lama.
“Malah, jika UMNO hanya mahu bersama MN semata-mata, lagilah tidak ada harapan untuk Bersatu diberikan laluan. Jika ada pun, dalam empat kerusi UMNO, mungkin satu boleh diberikan kepada Bersatu.Bersatu tiada tempat di Perlis ?Bersatu tiada tempat di Perlis ?
“Di negeri-negeri lain, mungkin Bersatu ada peluang tetapi jika di Perlis, saya lihat agak sukar Bersatu mendapat tempat,” katanya. – UTUSAN










