KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perayaan Thaipusam yang akan disambut penganut Hindu esok adalah satu lagi peristiwa menggambarkan perpaduan kaum di Malaysia.
Menerusi perutusan dimuat naik di akaun Facebook, Dr. Mahathir berkata, walaupun perayaan itu lebih signifikan terhadap masyarakat beragama Hindu di Malaysia perayaan akan dikongsi bersama dengan kaum-kaum dan penganut agama lain.
“Ini satu lagi peristiwa menggambarkan perpaduan kaum di Malaysia walaupun pengikut agama lain tidak mempunyai kaitan dengan perayaan Thaipusam tetapi mereka ingin bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang beragama Hindu, mereka ingin rayakan hari ini,” katanya.
Sambil mengucapkan selamat menyambut Thaipusam, Dr Mahathir turut berharap agar sambutan itu diraikan dengan penuh gembira oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusannya menyatakan perayaan tersebut memberi peluang buat rakyat Malaysia mempamerkan penghargaan terhadap kekayaan budaya yang telah lama dinikmati bersama sebagai satu bangsa. – Bernama










