KEMAMAN 20 Jan. – Kisah kesukaran hidup Selamah Sidek, 63, dan suami, Mamat Abdullah, 75, termasuk penantian mereka untuk menikmati menerima wang bantuan RISDA sebanyak RM600 berakhir hari ini apabila rintihan mereka yang disiarkan Utusan Malaysia semalam mendapat perhatian RISDA daerah ini.
Selamah atau lebih dikenali sebagai Maklong seterusnya mengucapkan setinggi terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana keluhannya yang didedahkan akhbar itu semalam mendorong RISDA tampil segera untuk membantu.
“Maklong nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada Utusan Malaysia kerana siarkan kisah Maklong bertajuk semalam.
“Semalam juga kakitangan RISDA ada datang jumpa Paklong (suami) di Pasar Binjai sebelum mereka datang ke rumah untuk jumpa Maklong,” kata Selamah ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Selamah, hari ini dia turut dikunjungi kakitangan RISDA yang membantunya membuat semakan di sebuah bank sebelum mendapati wang bantuan RM600 telahpun dimasukkan ke akaun akhir bulan lalu.
“Maklong mohon maaf kepada RISDA kerana tak buat semakan terlebih dahulu, lagipun Maklong tidak pandai berurusan dengan bank. Selama ini anak-anak yang tolong bawa Maklong ke bank,” katanya yang tinggal di Kampung Lot Seri Jaya dekat sini. – UTUSAN ONLINE










