2,366 puntung rokok dibuang sepanjang Jalan Padang Astaka - Utusan Malaysia

2,366 puntung rokok dibuang sepanjang Jalan Padang Astaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 20 Jan. – Sebanyak 2,366 puntung rokok dibuang di sepanjang Jalan Padang Astaka di sini hasil pemerhatian selama dua jam dalam tempoh dua hari oleh penyelidik Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman baru-baru ini.

Penemuan turut mendapati puntung rokok daripada jenama rokok tidak sah penyumbang paling tinggi iaitu sebanyak 50.8 peratus.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd. Anuar Abd. Rahman berkata, kajian terbaharu itu merupakan yang kedua selepas kali pertama dijalankan pada Oktober tahun lalu bagi mengenalpasti tabiat merokok di kalangan perokok selaras usaha mewartakan lokasi tumpuan ramai berkenaan sebagai Zon Bebas Asap Rokok.

Katanya,  kajian bermula dari Jalan Padang hingga jalan keluar pasar malam, kawasan Taman Awam Bandar Cukai, lot parking A dan B Jalan Padang, medan selera Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Perpustakaan Awam Daerah dan tempat latihan memandu.

“Hasil kajian mendapati 1,174 batang rokok paling banyak ditemui di kawasan medan selera merangkumi jarak tiga meter dan kawasan parkir B yang merupakan lokasi pasar minggu dan pasar malam.

“Daripada kajian ini juga kita akan dapat mengetahui beberapa perkara antaranya kepatuhan perokok merokok di kawasan larangan yang telah diwartakan di kawasan ini seperti taman awam, premis kerajaan dan yang terbaru di kedai makan terbuka,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Anuar berkata, pihaknya telah melantik 10 penyelidik membabitkan empat kumpulan bagi mengumpul dan merekodkan semua rokok-rokok yang dipungut selama dua hari iaitu pada hari pasar malam (Khamis) dan pasar minggu (Jumaat).

Katanya, walaupun kawasan taman awam telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejak 2017 namun, masih terdapat 404 puntung rokok ditemukan di kawasan itu.

“Berdasarkan kajian ini juga akan dapat memberi justifikasi kepada pihak kami ke arah menjadikan kawasan ini sebagai zon larangan merokok sepenuhnya.

“Kawasan ini bukan sahaja kawasan tumpuan awam bagi perniagaan pasar malam dan pasar minggu malah ia juga pusat aktiviti utama kecergasan, taman permainan kanak-kanak, perpustakaan awam, pusat segala aktiviti anjuran pelbagai karnival awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×