GUA MUSANG 20 Jan. – Tiga lelaki yang dilaporkan tersesat hampir 30 jam selepas mencari akar kayu di kawasan hutan Kampung Meranto di sini, ditemukan selamat petang ini.
Mangsa yang terselamat itu ialah Mohd. Zaulraini Mohamed, 50; Mohd Zain Mat Nor, 50, dan Mohd. Hasbi Sibaweh, 62.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, tiga lelaki terbabit datang ke hutan berkenaan pada pukul 10 pagi semalam untuk mencari akar kayu dan membuat tinjauan tanah untuk membuka kebun.
Bagaimanapun, katanya, pada pukul 1 petang, kesemua mangsa tersesat mencari jalan keluar dan seorang kawan mereka yang berada dalam keadaan lemah menyebabkan mereka terperangkap semalaman dalam hutan itu.
“Salah seorang mangsa telah menelefon seorang rakannya yang berumur 50 tahun mengatakan mereka bertiga telah tersesat.
“Rakan tiga lelaki itu bersama lima orang kampung telah ke hutan itu untuk mengesan lokasi mangsa, namun disebabkan keadaan bentuk muka bumi berbukit-bukau serta keadaan cuaca tidak mengizinkan menjadi usaha pencarian ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Taufik berkata, pada pagi ini pula, rakan mangsa telah meminta bantuan anggota penyelamat dan usaha pencarian diteruskan di hutan itu.
Katanya, bagaimanapun pada pukul 2.38 petang, anggota penyelamat yang telah mengadakan operasi pencarian menerima makluman mangsa telah jumpa sendiri jalan keluar.
“Operasi pencarian turut membabitkan hampir 20 orang termasuklah pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung.
“Mangsa yang lemah dan keletihan telah diberi rawatan awal di tempat kejadian serta diberi makanan serta minuman. Operasi ditamatkan pada pukul 4 petang apabila semua mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan hutan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










