KOTA BHARU 20 Jan. -Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menasihatkan agar pemilik restoran dan kedai makan bukan Islam tidak menggunakan lambang dan nama yang sinonim dengan Islam sebagai tarikan pelanggan ke premis mereka.
Pengarahnya, Khalid Tik berkata, pihaknya sudah memeriksa 41 restoran dan kedai menjual makanan segera dalam tempoh seminggu ini bagi memastikan pematuhan kepada penandaan halal termasuklah kopitiam Cina, kedai masakan Thailand dan restoran mamak.
Khalid berkata, setakat ini tiada peniaga yang menyalahguna teks al Quran atau sebarang perkara berhubung agama Islam sejak operasi itu dimulakan 13 Januari lalu.
“Kita tahu kalau premis meletakkan lambang atau nama Islam seperti masjid biasanya memang orang akan masuk.
“Kita harap perkara ini tidak dilakukan oleh pemilik bukan Islam sekalipun premis mereka menpunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), jika ada kita nasihatkan supaya segera menurunkan lambang sedemikian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, Khalid berkata, beliau yakin nama dalam tulisan jawi di papan tanda yang turut digunakan orang bukan Melayu tidak akan mengelirukan masyarakat kerana sudah menjadi budaya di negeri ini.
Jelasnya, setakat ini operasi yang turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu meliputi 32 premis beragama Islam dan sembilan premis lagi dimiliki bukan Islam.
“Pemeriksaan akan diteruskan sebagaimana arahan yang dikeluarkan pihak ibu pejabat yang mahu operasi dipergiatkan ke atas restoran dan premis makanan.
“Sepanjang tahun lalu kira-kira 50 premis telah diperiksa dan enam daripadanya dikenakan tindakan antaranya kerana tamat tempoh sijil halal dan juga kerana mempamerkan logo halal padahal tidak pernah memohon perakuan halal,”katanya.- UTUSAN ONLINE










