KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki Korea Selatan, Son Wan Ho merangkul gelaran juara dalam kejohanan badminton Malaysia Masters selepas menewaskan pemain China, Chen Long 21-17, 21-19 pada aksi final hari ini.
Meskipun mencatat kemenangan straight set, namun pemain No.5 dunia itu berdepan halangan sukar apabila memerlukan masa hampir sejam sebelum menewaskan juara dunia dua kali itu.
Wan Ho mengakui suasana stadium sedikit sebanyak mempengaruhi perlawanan itu, namun dia berjaya menanganinya dengan baik, sekali gus berjaya mengambil kesempatan ke atas Chen Long.
“Sudah banyak kali saya bermain menentang Chen Long dalam karier dan saya tahu dia merupakan pemain yang sangat sukar untuk dikalahkan, jadi saya gembira untuk tewaskannya hari ini.
“Saya tahu bukan mudah untuk bermain dengan suasana stadium seperti hari ini tetapi saya berikan sepenuh fokus untuk harunginya dan ia nyata berbaloi,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.
Menerusi kemenangan tersebut, Wan Ho membawa pulang pingat kejuaraan serta hadiah wang tunai AS$27,650 (RM113,710).
Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita Thailand, Ratchanok Intanon mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan juara dunia 2014 dari Sepanyol, Carolina Marin 21-9, 22-20.
Saingan beregu campuran menyaksikan pilihan utama dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino menang 21-18, 21-18 ke atas pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai. – K! ONLINE










