Kelantan belum terima dokumen saman Putrajaya - Utusan Malaysia

Kelantan belum terima dokumen saman Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 20 Jan. – Kerajaan Pas Kelantan belum menerima sebarang dokumen rasmi tindakan mahkamah yang diambil Kerajaan Persekutuan bagi mewakili masyarakat Orang Asli berhubung tanah adat Pos Simpor, Gua Musang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya sedia berdepan saman sivil tersebut dan sebarang langkah susulan akan ditentukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) akan datang.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan negeri perlu mengetahui secara terperinci kandungan saman terbabit dan setakat ini, pihaknya hanya mengetahui perkara tersebut menerusi laporan media semata-mata.

“Kita tunggu dokumen berkaitan saman itu daripada pihak Peguam Negara dulu sebab kita nak tahu apa isi dia dan apa tujuan dia. Sekarang kita belum terima (dokumen rasmi) dan hanya dengar daripada pihak akhbar.

“Kita bersedia (hadapi saman) tapi kita akan putuskan (langkah susulan) dalam mesyuarat MMK kerana perkara ini pertama kali berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, di sini hari ini.

Buat pertama kalinya selepas merdeka, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah mewakili masyarakat Orang Asli terhadap Kerajaan Negeri Kelantan berhubung tanah adat Pos Simpor, Gua Musang, Jumaat lalu.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, setelah meneliti kedudukan undang-undang, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

Defendan-defendan kes tersebut ialah Kerajaan Negeri Kelantan; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta lima entiti swasta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×