‘Kami bersedia benam jagoan dunia’ - Utusan Malaysia

‘Kami bersedia benam jagoan dunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEREGU lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang layak ke perlawanan akhir kejohanan badminton Malaysia Masters apabila menyingkirkan rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ee Yi-Yew Sin memenangi perlawanan itu dengan keputusan 21-6, 18-21, 21-19 pada aksi separuh akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, Ee Yi-Yew Sin berdepan tentangan sengit beregu muda tersebut, namun faktor pengalaman nyata memberi kelebihan buat mereka, sekali gus menempah slot ke final menentang beregu No. 1 dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Meskipun bakal bertemu jaguh dunia, Ee Yi menegaskan, kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang untuk merangkul gelaran dan mereka tidak akan mudah mengalah sebelum melangkah ke dalam gelanggang.

“Mereka ialah beregu No. 1 dunia, jadi sudah tentu mereka ada kelebihan dari segi pengalaman serta keberanian. Bagaimanapun, tidak semestinya kami akan kalah pada perlawanan esok (hari ini) kerana kedua-dua pasukan berpeluang memenangi kejuaraan.

“Apa yang paling penting sekarang ialah kami perlu tampilkan aksi terbaik dan cuba pastikan kemenangan milik Malaysia kerana ini satu-satunya peluang negara merangkul kejuaraan,” katanya.

Ee Yi mengakui, mereka perlu lebih berani selain memperbaiki corak permainan dari segi pertahanan jika mahu melakar kejutan ke atas gandingan sensasi Indonesia berkenaan.

“Memang masih ada beberapa kelemahan harus diperbaiki terutamanya keberanian serta pertahanan kami. Saya harap kami boleh beri cabaran hebat kepada mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Yew Sin mengakui mereka gagal menampilkan aksi terbaik pada aksi semalam apabila banyak melakukan kesilapan mudah.

“Pada aksi tiga set hari ini (semalam), kedua-dua pasukan gagal bermain baik dan kami juga banyak lakukan kesilapan kerana terlalu mahukan kemenangan. Kami perlu bangkit pada aksi final esok (hari ini) dan mungkin perlukan strategi terbaik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal menempah pertemuan sesama sendiri apabila tewas 18-21, 22-24 kepada Fernaldi-Sanjaya.

Selain itu, hasrat bintang remaja negara, Goh Jin Wei untuk melunaskan dendam kepada juara bertahan dari Thailand, Ratchanok Intanon juga tidak kesampaian apabila akur dengan kekalahan mudah 16-21, 16-21.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×