KUALA LUMPUR 19 Jan. – Satu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang tumpas selepas empat lelaki termasuk dalang sindiket tersebut ditahan polis dalam serbuan berasingan di ibu negara dan Selangor pada Rabu lalu.
Serbuan dijalankan hasil risikan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dibantu Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor, sejak dua bulan lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut menemukan 19.6 kilogram (kg) heroin ‘base’, 11.8kg heroin, 1.5kg syabu, 4,250 pil Erimin 5 dan 3,380 pil ekstaksi dianggarkan bernilai RM2.14 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah bergiat aktif mengedar dadah sejak setahun lalu di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pihaknya menahan dua lelaki berusia 30-an namun tiada dadah ditemukan.
“Tangkapan itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 20-an di sebuah kondominium di Wangsa Maju dan polis turut menemukan pelbagai jenis dadah yang diletakkan di tempat meletak kenderaan.
“Kita juga turut melakukan pemeriksaan dua lagi kondominium di Shah Alam iaitu Taman Perindustrian dan Seksyen 13 serta merampas 1.6kg syabu, 13.9kg heroin ‘base’ dan 3.3kg heroin di dua lokasi itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJN, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali.
Menurut Mohmad, siasatan mendapati kesemua dadah itu dibawa masuk dari negara jiran melalui negeri Pantai Timur dan dipercayai boleh dibekalkan kepada 950,130 pengguna.
Katanya, keempat-empat suspek kini direman tujuh hari sehingga Khamis depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.










