MELBOURNE 14 Jan. – Pemain yang sedang bergelut, Andy Murray tersingkir di halangan pertama, namun berlainan pula nasib bagi dua lagi bintang tenis Roger Federer dan Rafael Nadal apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Australia.
Finalis lima kali Melbourne Park dari Scotland itu memberikan segalanya, selain mempamerkan kemampuan seperti ketika memenangi tiga Grand Slams, namun kondisi badan telah menghalangnya untuk mara ke peringkat seterusnya apabila tewas 6-4, 6-4, 6-7 (5/7), 6-7 (4/7) kepada pilihan ke-22 Roberto Bautista Agut.
Murray mendedahkan sebelum pertandingan tersebut bahawa dia mengalami kesakitan yang berterusan di pinggul selain merancang untuk menggantung raket pada tahun ini.
Pemain berusia 31 tahun itu berharap, dia berupaya menamatkan kariernya di Wimbledon, namun mengakui Terbuka Australia mungkin menjadi acara terakhirnya, kecuali jika dia berubah hati.
“Hebat, sungguh luar biasa. Sangat berterima kasih kepada semua orang yang hadir pada hari ini,” katanya selepas tersingkir.
Pada ketika Murray ditunjukkan jalan keluar, pemain Switzerland, Federer, yang enam tahun lebih tua daripadanya bagaimanapun berjaya meloloskan diri dalam usaha mengucup gelaran ketujuh Terbuka Australia.
“Saya akan cuba sedaya yang mampu untuk menang lagi dan hamparkannya di atas gelanggang,” kata pemain No. 3 dunia itu selepas menewaskan Denis Istomin dari Uzbekistan 6-3, 6-4, 6-4.
Sementara itu bagi perseorangan wanita, pilihan kedua yang juga juara 2016 Angelique Kerber turut mara ke peringkat seterusnya selepas menumbangkan Polona Hercog dari Slovenia 6-2, 6-2.
Maria Sharapova, juara Melbourne pada 2008, mara dengan mudah apabila mengatasi 6-0, 6-0 Harriet Dart.
Beraksi buat kali ke-15 dalam Terbuka Australia, finalis tiga kali itu berkata, dia sangat bersyukur kerana mara dengan mudah meskipun bergelut dengan kecederaan belakang.
“Saya masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Tetapi, anda tahu, saya rasa seperti saya telah melakukan sesuatu yang tepat untuk mara ke peringkat seterusnya,” kata pemain dari Rusia, Sharapova.- UTUSAN ONLINE










