JERANTUT 13 Jan. – Ikan Sungai Tembeling semakin popular dalam kalangan pelancong asing sebagai menu utama hidangan tengah hari dan malam di resort Taman Negara Kuala Tahan dekat sini.
Kebanyakan pusat hospitaliti di situ menyediakan hidangan berasaskan ikan walaupun dikatakan spesies air tawar berkenaan mulai pupus berikutan habitat di Sungai Tembeling terancam akibat pencemaran air.
Antara spesies ikan yang menjadi juadah serta kegemaran pelancong yang transit di Resort Taman Negara ialah lampam, kerai, terbul, tenggalan dan kemperas.
Kebanyakan pengusaha resort di Taman Negara juga menghidangkan masakan stim ikan kelah patin yang mencecah harga antara RM300 hingga RM500 untuk satu hidangan.
Cef Mutiara Taman Negara Resort (MTNR), Mohd. Zamri Karim berkata, kebanyakan pelancong asing yang singgah dan menginap di situ gemar dengan masakan goreng berlada selain steamboat bagi ikan yang mahal dan bermutu seperti kelah serta patin.
“Saya mengambil masa selama sejam 15 minit untuk menggoreng dan kemudian mencampurkan dengan bahan tertentu bagi hidangan secara bufet di restoran resort ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, harga yang perlu dibayar bagi hidangan secara bufet ialah sebanyak RM80 seorang manakala secara berkumpulan 25 orang mencecah sehingga RM600.
“Bagi masakan steamboat ikan kelah dan patin, pengunjung perlu membayar RM300 seekor. Sekiranya musim kemarau, spesies ini sukar diperoleh dan harga masakan steamboat berkemungkinan mencecah sehingga RM500 seekor,” katanya.
Zamri yang berpengalaman selama 13 tahun bekerja di MTNR berkata, dia dan rakannya juga menyediakan tempahan mengikut selera pelanggan sama ada masakan tradisional dan barat (western food) berasaskan ikan liar berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Pelancongan MTNR, Sabri Abdullah berkata, ikan Sungai Tembeling sememangnya menjadi tarikan pengunjung bukan sahaja kerana keunikan habitatnya tetapi cukup lazat dan menyelerakan apabila dimasak.
“Peranan hospitaliti kami bukan sahaja mempromosikan keindahan hutan tropika taman ini, flora dan fauna serta budaya tempatan tetapi jenis masakan tradisional umumnya untuk pengunjung yang menginap di sini,” katanya.











