Erin CTJ mahu popular 'berisi' - Utusan Malaysia

Erin CTJ mahu popular ‘berisi’

ERIN CTJ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI tangga usia 17 tahun dia memulakan langkah dalam industri seni yang kita semua sedia maklum ada onak dan ranjau. Percaturan harus disusun rapi jika tidak mahu tersilap langkah, mencemar kanvas seni.

Matlamatnya mahu jadi artis popular. Namun, bukan popular hanya daripada nama. Dia mahu dikenali kerana bakat serta pencapaian. Bukan kontroversi atau cerita murahan yang akhirnya mencalit lumpur pada nama baik sendiri.

Sedar perjalanan yang ditempuh masih terlalu jauh, Erin CTJ mengatur langkah mula dengan selamat. Tampil dengan single pertama Arjuna, vokal dan suaranya mendapat pujian. Namun, dia tidak mahu selesa di situ sahaja.

“Siapa sahaja jadi penyanyi tidak mahu jadi terkenal? Tetapi perlulah disertakan dengan minat dan usaha. Tak boleh semata-mata nak popular tetapi bakat tidak diasah. Kena selari semua itu.
“Walaupun saya masih muda namun pemikiran saya harus matang. Industri seni ini bukan mudah. Jadi saya perlu bersedia untuk berhadapan dengan apa sahaja cabaran. Mana yang buruk kita belajar,” katanya.

Dipantau keluarga
Benar, tutur katanya cantik tersusun walaupun baru 17 tahun usianya. Mungkin pengalamannya menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, D’ Academy Asia tahun lalu ‘mendewasakan’ dia dalam industri seni.

Namun, dia sentiasa diiringi ibu dan kakaknya. Langkah diawasi agar tidak lupa diri. Di usia mentah itu, kehendak hati mungkin tidak selari dengan keperluan diri. Takut sahaja dia tewas dengan pengaruh tidak elok.

“Memang ke mana sahaja saya pergi akan ditemani ahli keluarga. Senang juga. Malah, setiap akaun media sosial saya juga dipantau oleh mereka. Tetapi insya-Allah saya pandai jaga diri. Tak buat perkara di luar batas.

“Saya mahu menyanyi dan mencuba pelbagai cabang seni. Jadi kena berlatih bermula sekarang. Kalau ada rezeki, saya mahu kekal berdiri teguh sebagai ikon seni seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah,” kata anak kelahiran Melaka ini.

Berbicara soal media sosial, Erin juga pernah berdepan dengan kecaman dan hinaan. Itu belum mula berbicara tentang gangguan tidak elok daripada segelintir netizen.

“Memang saya sudah biasa dikecam, sejak masuk pertandingan lagi. Salah sikit, mesti ada sahaja yang terus menerus mengutuk. Namun, ada juga yang sentiasa memberi kata positif.

“Kalau cakap soal gangguan peminat ini, macam-macam pesanan pernah saya terima. Cuma saya buat bodoh sahaja.

“Malah, ahli keluarga saya juga sentiasa memantau. Kalau perlu, kita sekat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×