Khairy pertikai kerajaan guna wang rakyat untuk projek kereta - Utusan Malaysia

Khairy pertikai kerajaan guna wang rakyat untuk projek kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Mana satu yang betul? kerajaan berjanji tidak akan menggunakan wang rakyat untuk projek kereta nasional ketiga atau tetap memperuntukkan dana untuk membangunkannya?

Hal ini menjadi pertikaian dan membingungkan orang ramai apabila Kementerian Pembangunan Usahawan semalam mengumumkan peruntukan dana RM20 juta untuk membangunkan prototaip kereta nasional ketiga.


Ini berbeza dengan jaminan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Ogos tahun lalu bahawa projek berkenaan tidak akan menyentuh wang rakyat.


Malah, isu ini menarik perhatian Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang berasa tidak berpuas hati dan menyindir kerajaan Pakatan Harapan yang seolah-olah tidak konsisten berhubung isu berkenaan.


Khairy menerusi ciapan Twitternya turut menimbulkan persoalan kepada kerajaan berhubung projek berkenaan.


“Soalan untuk kerajaan, berapa banyak lagi duit rakyat akan digunakan untuk kereta nasional ketiga? syarikat mana akan menerima duit tersebut? Apa business plan (pelan perniagaan) kereta nasional ketiga? Apakah implikasi kereta nasional ketiga kepada harga kereta import?,” soalnya.


Kementerian Pembangunan Usahawan semalam telah meluluskan dana bernilai hampir RM20 juta untuk menarik minat pelabur swasta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga.


Menterinya, Mohd Redzuan Yusof berkata, dana itu diperoleh daripada beberapa geran sedia ada untuk memangkinkan pembangunan projek kereta nasional berkenaan.


Katanya, ideanya adalah untuk kita menjadi pemangkin kepada projek kereta nasional baharu tersebut.


“Saya tidak membangunkan projek kereta nasional yang ketiga, saya memudahkan untuk mewujudkan persekitaran bagi projek kereta nasional baharu itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Lestari: Inisiatif Pemerkasaan Keusahawanan Bumiputera, semalam. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×