KUALA LUMPUR 7 Jan. – Majlis Raja-raja menetapkan tarikh 24 Januari ini untuk mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, raja-raja juga menetapkan bahawa Mesyuarat Khas bagi acara mengangkat sumpah jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 31 Januari ini.
Menurutnya, sultan-sultan yang hadir dalam perjumpaan yang diadakan hari ini di Istana Negara turut mengambil maklum dan menghormati hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan

Muhammad V untuk berundur diri dan meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, berkuat kuasa semalam.
“Raja-raja yang hadir dalam perjumpaan tersebut dengan ini menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat yang telah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V laksanakan dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, sultan-sultan yang menghadiri perjumpaan itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. “Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang tidak berangkat kerana baginda kurang sihat dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tidak berangkat kerana berada di luar negara,” jelasnya.










