Dana asing jual RM54.4j bersih ekuiti tempatan - Utusan Malaysia

Dana asing jual RM54.4j bersih ekuiti tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Dana asing menjual RM54.4 juta bersih ekuiti tempatan minggu lepas berbanding RM127.6 juta pada minggu sebelumnya, meneruskan jualan asing berterusan bagi minggu kesembilan, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd. (MIDF Research).

Penganalisis MIDF Research, Adam M. Rahim berkata, jualan asing yang kurang daripada separuh jumlah yang dilupuskan sebelumnya, menunjukkan momentum aliran keluar bersih asing daripada bursa tempatan semakin berkurangan minggu lepas.

Bagi tiga hari pertama daga­ngan 2019, beliau berkata, dana asing mengeluarkan AS$4.5 juta

BANGUNAN BursaMalaysia di Jalan Bukit Kewangan, Kuala Lumpur.
BANGUNAN BursaMalaysia di Jalan Bukit Kewangan, Kuala Lumpur. 

(RM18.3 juta) ekuiti dari Bursa Malaysia.

“Penjualan itu jauh lebih rendah berbanding aliran keluar dari Thailand sebanyak AS$130.4 juta (RM535.88 juta) manakala Indonesia dan Filipina menyaksikan aliran masuk bersih masing-masing sebanyak AS$54.9 juta (RM225.61 juta) dan AS$23.1 juta (RM94.93 juta),” katanya dalam laporan aliran dana mingguan MIDF Research hari ini.

Adam berkata, sehari sebelum 2019, pelabur antarabangsa menjual RM36.1 juta bersih di Bursa Malaysia, susulan penurunan aktiviti kilang di China buat kali pertama sejak 2016.

“Bursa tempatan tidak ber­ubah, dengan ditutup 0.1 peratus lebih rendah kepada 1,691 mata pada Isnin, 31 Disember 2018.

“Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) juga meningkat 56 mata sejak ia mencecah tahap terendah pada 2018, dengan 1,635 mata pada 18 Disember 2018,” katanya.

Menurut beliau, Bursa Malaysia memulakan 2019 dengan nota suram susulan dana asing menjual RM55.4 juta pada dagangan hari pertama Rabu, menjadikan jualan bersih asing selama 12 hari, tempoh paling lama sejak jualan selama 37 hari dari awal Mei hingga akhir Jun 2018.

“Walaupun Apple menurun­kan anggaran hasilnya, pelabur asing tidak mengendahkan be­rita itu dan mengambil peluang untuk membeli bersih RM64.6 juta pada Khamis, aliran masuk harian terbesar dalam tempoh lebih dua minggu,” katanya.

Namun beliau berkata, dana asing kembali kepada mod jualan pada Jumaat, walaupun pada kadar sederhana, sebanyak RM27.5 juta bersih.

“Keyakinan yang tercetus daripada peningkatan sektor perkhidmatan China, kembali suram susulan data perkila­ngan Amerika Syarikat (AS) yang mengecewakan apabila indeks perkilangan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) turun kepada 54.1 bulan lepas, paras terendah sejak November 2016,” katanya.

Adam berkata, kadar penyer­taan dalam kalangan pelbagai kumpulan pelabur menyaksikan peningkatan secara menyeluruh pada minggu yang berakhir 4 Januari 2019.

“Nilai dagangan purata harian bagi pelabur asing mencatatkan peningkatan mingguan terbesar sebanyak 36 peratus, namun masih di bawah paras sihat RM1 bilion,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×