Pilihan raya Presiden ulangi sejarah 2014 - Utusan Malaysia

Pilihan raya Presiden ulangi sejarah 2014

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 7 Jan. – Senario politik Indonesia pada tahun lalu didominasi dengan persediaan pilihan raya Presiden (Pilpres) yang bakal diadakan pada 17 April ini.

Channel News Asia yang memetik artikel tulisan Prof. Madya Greg Fealy dari Jabatan Politik dan Perubahan Sosial, Australian National University melaporkan, bagi kebanyakan pihak, pilihan raya kali ini se­perti ulangan pada 2014.

Sekali lagi, penyandang, Joko Widodo atau Jokowi dan Prabowo Subianto merupakan dua calon utama untuk merebut jawatan Pre­siden Indonesia.

Pakatan di belakang setiap calon adalah sama ketika pilihan raya terdahulu dan isu seperti pemba­ngunan, nasionalisme ekonomi, ketidakadilan, etnik dan agama sekali lagi dicetuskan dalam kempen kali ini. Tetapi ada beberapa perbezaan penting dalam dinamik politik dan format pilihan raya yang menambah ketidakpastian untuk meramalkan keputusan kali ini.
 

1 Strategi Jokowi

Sejak menjadi Presiden pada Oktober 2014, Jokowi meletakkan sasaran memegang jawatan tersebut buat penggal kedua. Strateginya kali ini melibatkan dua elemen utama.

Pertama, beliau membina reputasi untuk pembangunan pesat dan pertumbuhan ekonomi. Jokowi melancarkan pelbagai program prasarana yang belum pernah berlaku sebelumnya dan memulakan pembaharuan dari aspek kebajikan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan serta pendidikan bagi golongan miskin.

Sepanjang tempoh peme­rintahannya, pertumbuhan ekonomi meningkat antara lima hingga enam peratus. Peratusan itu dilihat kukuh di peringkat wilayah tetapi tidak mencapai apa yang disasarkan oleh kerajaan.

Elemen kedua ialah menonjolkan identitinya sebagai ‘seorang yang beragama Islam’. Jokowi sering terdedah de­ngan isu keagamaan. Pada Pilpres 2014, penyokong Prabowo menggunakan isu Islam untuk menentang Jokowi dan mendakwa Jokowi adalah alat kepen­tingan golongan bukan Islam.

Isu ‘Islam’ itu makin me­runcing selepas pilihan raya Gabenor Jakarta pada 2017. Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, seorang Cina Kristian dan merupakan sekutu rapat Jokowi mengutuk Islam dan pernah jadi sasaran kumpulan Islam sehingga beliau ‘digulingkan’.

Susulan kekalahan Ahok, Jokowi meningkatkan usaha untuk meraih sokongan penduduk Islam, terutamanya dalam kalangan organisasi besar se­perti Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah. Bagi Jokowi, pilihan raya ini akan terjejas jika pembangunan ekonomi atau kredibiliti Islamnya terancam.

2 Calon dalam tekanan

Prabowo dilihat kurang sibuk dalam kempen tahun ini berbanding Jokowi. Awal tahun lalu, Prabowo mengejutkan ramai pihak dengan menawarkan diri menjadi gandingan Jokowi. Jokowi bagaimanapun menolak tawaran itu.

Terdapat beberapa sebab mengapa Prabowo teragak-agak untuk bertanding. Beliau tidak mempunyai dana, agak ketinggalan dari segi sokongan berbanding Jokowi dan tidak mahu menamatkan karier politiknya dengan satu lagi kekalahan.

Namun menjelang pertengahan tahun lalu, partinya, Gerindra, menegaskan beliau perlu bertanding sekali lagi. Keluarga Prabowo sebelum ini melaburkan berjuta dolar dalam Gerindra sejak sedekad lalu dan bersetuju untuk bertanding dalam pilihan raya demi kepentingan parti terbabit.

Undian menunjukkan sekiranya Prabowo bertanding, Gerindra akan muncul sebagai parti kedua terbesar di Indonesia. Sekiranya beliau enggan bertanding, Gerindra hanyalah sebuah parti yang tidak akan kekal lama.

3 ‘Krisis’ Naib Presiden

Drama politik terbesar tahun lalu adalah melibatkan pemilihan calon Naib Pre­siden. Undang-undang pilihan raya Indonesia memerlukan pencalonan calon Presiden dan Naib Presiden oleh mana-mana parti atau kumpulan parti yang memiliki 20 peratus kerusi dalam Parlimen atau 25 peratus undian nasional.

Jokowi dan Prabowo mene­rima tekanan daripada pelbagai pihak dalam pakatan masing-masing untuk memilih calon Naib Presiden yang bukannya daripada parti mereka sendiri. Setiap parti menganggap mereka akan menerima manfaat apabila mempunyai calon yang berkelayakan untuk menjadi Naib Presiden.

Jokowi lebih gemar memilih bekas Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Mahfud MD. Tetapi parti pakatannya memaksa beliau memilih cendekiawan Islam konservatif, Ma’ruf Amin, yang merupakan Pre­siden NU dan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia.

Sebab utama parti tersebut menolak Mahfud adalah kerana beliau menimbulkan ancaman terhadap kepentingan mereka sendiri. Tidak terikat dengan mana-mana parti dan masih muda untuk berdiri sebagai calon bebas bagi Pilpres 2024, Mahfud berisiko membahayakan rancangan partinya sendiri pada pilihan raya tersebut.

Prabowo mengendalikan pemilihan calon Naib Pre­siden berbeza dengan Jokowi. Meskipun menerima ancaman daripada parti gabungannya bahawa mereka akan meninggalkannya sekiranya beliau tidak memilih salah seorang ahlinya, Prabowo memilih bakal Timbalan Gabenor Jakarta dan anggota parti Gerinda, Sandiaga Uno.

Sandiaga merupakan salah seorang ahli perniagaan bukan Cina yang paling berjaya dan menjanjikan sumbangan bernilai berjuta dolar dalam kempen Prabowo. Kempen pilihan raya dijalankan selama lapan bulan dan merupakan paling lama dalam sejarah Indonesia.

4 Kelemahan, kekuatan

Pada empat bulan pertama, kempen kedua-dua calon dilihat tidak ‘bermaya’ dan kurang menentu. Jokowi adalah seorang yang lemah ketika bercakap di khalayak ramai dan Prabowo pula kelihatan tidak fokus dan kurang bersema­ngat. Kedua-dua kempen calon bergantung kepada media sosial dan penggunaan kata-kata berunsur negatif.

Pada masa ini, nampaknya kempen Jokowi bakal kalah. Namun beliau mempunyai kelebihan berbanding Prabowo dari segi sokongan dan paling penting adalah kebarangkalian untuk dipilih oleh pengundi. Tinjauan menunjukkan kebarangkalian ke atas Jokowi adalah dalam purata 40 hingga 50 peratus manakala Prabowo iaitu 20 hingga 30 peratus.

Prabowo memerlukan skandal ekonomi atau politik yang besar jika mahu berada rapat dengan kedudukan Jokowi. Tetapi Jokowi adalah ahli politik yang berdisiplin dan berhati-hati yang tidak mungkin memberikan peluang kepada Prabowo untuk menyerang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×