Tahanan Rohingya di Arab Saudi mengeluh - Utusan Malaysia

Tahanan Rohingya di Arab Saudi mengeluh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI 7 Jan. – Selepas beberapa hari India menghantar pulang lima sekeluarga Rohingya dari penjara di Assam ke Myanmar, Arab Saudi pula bersedia untuk melakukan tindakan sama ke Bangladesh.

India Today yang memetik Middle East Eye melaporkan, tindakan tersebut melibatkan mereka yang telah tinggal selama lima ke enam tahun dalam tahanan di Pusat Tahanan Shumaisi di Jeddah.

Mengikut satu rakaman vi­deo, seorang tahanan Rohingya menyatakan dia telah berada di Arab Saudi selama enam tahun namun kini dihantar ke Bangladesh dan bakal menjadi pela­rian.

“Saya telah berada di Arab Saudi selama lima ke enam tahun. Kini mereka akan menghantar saya ke Bangladesh dan tolong doakan saya,” katanya.

Ramai penduduk Rohingya ditempatkan di Pusat Tahanan Shumaisi setelah datang ke sini menggunakan pasport Bangladesh palsu malah ada yang masuk menggunakan pasport Bhutan, India, Pakistan dan Nepal.

Sementara itu, rakaman suara diperoleh menyatakan, sesetengah daripada tahanan digari selepas dilaporkan cuba menentang proses penghantaran itu.

Rakaman suara lain mendedahkan, sel penjara mereka didatangi pihak berkuasa pada tengah malam dan menyuruh mengemas beg untuk ke Bangladesh.

Menurut aktivis Rohingya, Nay San Lwin, jika tahanan Rohingya itu dibebaskan di Arab Saudi, mereka dapat membantu keluarga yang ditahan di kem pelarian di Bangladesh.

“Mereka bukannya penjenayah untuk digari dan saya sangat sedih melihat mereka dilayan sebegitu oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

“Kini mereka dihantar ke sana dan menambahkan jumlah pelarian di Bangladesh,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×