TANAH MERAH: Masalah capaian internet yang lemah di Kampung Bukit Petai 7 dekat sini dan kawasan sekitarnya akan diatasi dalam tempoh terdekat apabila syarikat telekomunikasi Celcom membuat percubaan memasang Radio Mobile (RAMO), sejenis alat mudah alih di sini, semalam.
Pegawai Jualan Celcom Kelantan Selatan, Nadzri Zalfudin berkata, pemasangan RAMO hanya buat sementara waktu kerana pihaknya merancang mendirikan sebuah pencawang kekal di kawasan itu.
“RAMO akan mula dipasang secepat yang mungkin selepas bahagian teknikal melakukan percubaan di kawasan itu bermula esok.
“Capaian RAMO boleh didapati sejauh tiga kilometer. Penduduk dalam radius itu akan menikmati capaian internet ditawarkan Celcom dengan lebih baik menerusi pemasangan RAMO,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas masalah yang dihadapi oleh seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa mendirikan khemah di puncak bukit di Kampung Bukit Petai 7 untuk membolehkannya menduduki peperiksaan secara dalam talian.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, isu tersebut telah dipanjangkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi tindakan susulan dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Kita sedia maklum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan sekolah dan institusi pengajian ditutup, namun pembelajaran diteruskan secara atas talian.
“Oleh sebab itu, capaian internet yang kuat amat penting untuk memudahkan urusan pelajar serta pelbagai lagi kegiatan rakyat seperti menjalankan perniagaan dalam talian,” katanya.
Pelajar Universiti Malaya (UM), Nurlieda Khaleeda Mohd. Azmi akan mendaki bukit di belakang rumahnya setiap hari semata-mata mahu mendapatkan capaian internet bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan dalam talian. – UTUSAN










