Miskin bukan penghalang kejayaan - Utusan Malaysia

Miskin bukan penghalang kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESUKAR manapun kehidupan yang terpaksa ditempuh bukan penghalang untuk seseorang itu mengecapi kejayaan. Malah, kepayahan hidup boleh membakar semangat untuk terus berjuang demi masa depan keluarga.

Itulah juga matlamat yang dipegang Nur Izni Syazwani Ahmad, 21, sehingga membolehkannya melangkah ke Universiti Malaya (UM) bagi menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang.

Nama Nur Izni menjadi sebutan masyarakat apabila diumumkan antara 46 calon dari Kedah memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengikut Nilai Gred Kumulatif (PNGK) pada 2016.

Pelajar yang berasal dari Kampung Charuk Bakong, Baling itu memperoleh 4A dalam STPM dan kejayaan itu amat bermakna kepadanya dan keluarga.

“Kejayaan yang saya kecapi ini mungkin tidak dijangka oleh keluarga, tetapi saya tahu mereka mengharapkan saya dapat belajar hingga ke universiti.

“Saya sentiasa ingat pesanan mereka agar terus berjuang dalam pelajaran dan jangan sesekali menyerah kalah. Biarpun hidup susah, bukan bermakna kami tidak punya harapan untuk berjaya.

“Apa yang penting, hidup perlu ada matlamat. Jangan jadikan kesukaran atau situasi yang kita lalui itu sebagai satu alasan untuk kita berputus asa,” katanya ketika ditemui di UM baru-baru ini.

Nur Izni kini dalam tahun dua kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Setakat ini, dia mampu mengekalkan kecemerlangan akademik dengan keputusan setiap semester melebihi PNGK 3.5.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, azamnya untuk belajar bersungguh-sungguh didorong oleh kemiskinan keluarga terutama bapanya yang dahulu bekerja sebagai tukang kebun di Balai Polis Tanjung Pari, Baling.

“Setiap hari, ayah terpaksa bekerja keras demi mencari sesuap nasi untuk kami sekeluarga dan keadaan hidup keluarga yang susah memaksa saya bersederhana dalam hidup.

“Pendapatan ayah yang ketika itu kurang daripada RM500 sebulan memang tidak mencukupi, tetapi ayah mahupun emak tidak pernah sekali pun menyuruh kami berhenti sekolah,” katanya.

Nur Izni dihantar oleh ibu bapanya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Lalang, Baling sehingga darjah enam. Sekolah itu terletak berdekatan dengan rumah sewa mereka di kampung tersebut.

Gadis cekal ini kemudian meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Baling. Sekolah itu menjadi pilihan kerana Nur Izni mahu mengambil subjek Bahasa Mandarin. Namun untuk ke sekolah itu, dia perlu menempuh perjalanan hampir 30 minit menaiki bas.

“Kadang-kadang tiada duit untuk tambang ke sekolah, tetapi ayah sanggup pinjam dengan kawan-kawannya untuk membolehkan saya pergi ke sekolah.

“Malah, ada seorang guru menghulurkan duit RM10 seminggu untuk tambang ke sekolah setelah mengetahui kesusahan kami,” jelasnya yang tidak pernah lupa jasa guru tersebut.

Mungkin sesetengah remaja akan mengeluh dengan kesusahan yang dialami, apatah lagi jika setiap hari dihidangkan nasi berlauk ikan goreng sahaja. Berlainan dengan Nur Izni yang menganggap itu perkara biasa. Malah dia bersyukur kerana dalam keperitan hidup, mereka masih mendapat makanan, bukannya dibiarkan kelaparan.

Dia juga bersyukur semangatnya tidak pernah goyah semasa bersekolah. Biarpun susah, di samping terpaksa berpanas dan berhujan untuk menuntut ilmu, Nur Izni tetap cekal mengharungi kepayahan itu kerana baginya pendidikan mampu mengubah kehidupan mereka sekeluarga.

Dalam pada itu, kehidupannya turut diuji dengan pelbagai dugaan lain. Sewaktu di tingkatan dua, kekuatan Nur Izni bagai direntap apabila ibu kesayangan meninggal dunia disebabkan masalah kegagalan hati. Biarpun diulit kesedihan, Nur Izni berjaya memperoleh 6A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Dua tahun selepas itu, bapanya pula diserang penyakit parkinson. Ingatkan tiada lagi dugaan, rupa-rupanya ketika di tingkatan enam bawah, bapa disahkan menghidap skizofrenia sehingga mereka sekeluarga berpindah ke rumah ibu saudara (adik bapanya) di Kampung Charuk Bakong, Baling.

Kini bapanya, Ahmad Bakar, 68, dijaga oleh ibu saudaranya, Rokiah Abu Bakar, 61, sementara adik lelakinya mengambil keputusan berhenti sekolah sewaktu di tingkatan tiga untuk bekerja.

“Ketika itu hanya SMK Baling menawarkan kelas tingkatan enam. Walaupun rumah mak ngah (Rokiah Abu Bakar) lebih dekat dengan sekolah, tetapi tiada pengangkutan awam.

“Jadi, setiap hari mak ngah terpaksa menghantar dan mengambil saya dari sekolah menggunakan motosikal lamanya. Perjalanan memakan masa 40 minit,” kata Nur Izni.

Tidak dinafikan, terdetik juga perasaan kasihan melihat ibu saudaranya yang sudah tua tetapi terpaksa berpanas terik menghantar dan menjemputnya dari sekolah. Bagi mengurangkan kepenatan akibat bahang matahari, Nur Izni sengaja pulang lewat dan menggunakan waktu tersebut untuk mengulang kaji pelajaran.

“Memang kasihan melihat mereka bersusah-payah demi pelajaran saya. Malah, adakalanya saya berasa seperti mementingkan diri kerana mak ngah perlu hantar dan ambil saya setiap hari.

“Tetapi ‘perjalanan’ saya perlu diteruskan kerana saya tahu ada sinar kejayaan yang menanti dan bolehlah membantu keluarga di masa depan,” kata Nur Izni.

Baginya, jika individu itu tabah menghadapi dugaan hidup, pasti akhirnya Tuhan akan memberi laluan untuk mencapai kejayaan. Namun, ia perlu disertakan dengan usaha.

“Saya tidak anggap diri ini pandai, tetapi pencapaian cemerlang ini disebabkan saya suka belajar. Malah, saya tidak penat untuk mengharungi segala kepayahan hidup asalkan matlamat saya untuk berjaya dalam pelajaran tercapai.

“Kalau hendakkan sesuatu, kenalah berusaha keras. Pada masa sama, jangan lupa menghargai orang sekeliling yang banyak membantu kita,” kata Nur Izni.

Kini, Nur Izni berharap dia tidak lagi membebankan keluarga setelah mendapat bantuan biasiswa daripada Hong Leong Foundation. Harapannya, semoga semangatnya tidak luntur demi kelangsungan hidup diri dan keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×