PASIR MAS 4 Jan. – Polis menjalankan pemantauan di sepanjang kawasan pesisir pantai bagi memastikan orang ramai tidak menghampiri lokasi tersebut ketika ini ekoran ombak besar yang berpunca daripada tempias ribut tropika Pabuk.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pemantauan itu membabitkan kawasan pantai di daerah Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
“Sebagai langkah awal, satu arahan telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah yang terlibat untuk berbuat demikian.
“Sekiranya ada orang ramai yang menghampiri kawasan pantai, kita akan arahkan supaya mereka segera meninggalkan lokasi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Mengimarahkan Masjid Mukim Kubang Batang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah.
Terdahulu, Hasanuddin menunaikan solat Jumaat bersama di kampung berkenaan.
Hasanuddin memberitahu, langkah itu bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa kepada ribu tropika Pabuk.
Katanya, ribut tersebut bukan sahaja membawa angin yang sangat kuat malah boleh mengancam keselamatan nyawa. – UTUSAN ONLINE










