KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati aktiviti pemerasan oleh kumpulan kongsi gelap ke atas pemaju perumahan, pengurus tapak pembinaan, kontraktor dan orang perseorangan semakin berleluasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenyah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, pihaknya memandang serius jenayah berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan pemerasan.
“Mereka (pemeras ugut) akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan di bawah Kanun Keseksaan termasuk Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Pertubuhan 1966.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemerasan ini diminta untuk menyalurkan kepada pihak polis menerusi talian hotline yang telah wujud di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada Unit Pencegahan Kongsi Gelap Bukit Aman menerusi aplikasi Whatsapp di talian 011-12277478. – K! ONLINE










