PULAU PINANG 4 Jan. – Orang ramai khususnya pelancong dinasihatkan menjauhi serta tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan pantai negeri ini termasuk di pusat peranginan Batu Feringghi di sini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Kolonel (PA) Pang Ah Lek berkata, perkara itu berikutan keadaan angin kencang dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam yang sedang melanda kawasan pantai negeri ini ketika ini.
Selain itu, katanya, keadaan laut juga berbahaya dengan ombak dicatatkan setinggi antara 2.5 hingga tiga meter sekali gus tidak selamat untuk sebarang aktiviti.
Ujar beliau, pihaknya juga sudah menaikkan tanda amaran bendera merah di beberapa lokasi pesisir pantai negeri ini sebagai panduan kepada orang ramai.
“Keadaan ombak tepian pantai terutama di sebelah daerah Timur Laut juga sedikit kuat, namun dijangka beransur pulih.
“Begitu pun, APM akan terus melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan sekitar pantai negeri ini dari semasa ke semasa terutama oleh pasukan Menara Penyelamat Pantai APM,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai sekumpulan pegawai APM mengadakan tinjauan di pantai Batu Feringghi di sini pagi ini.
Pesisir pantai negeri ini antara yang terjejas dengan bencana alam ribut tropika Pabuk yang turut menyebabkan hujan lebat awal pagi tadi namun tiada kawasan dilanda banjir. – UTUSAN ONLINE










