AMPANG – Seorang adik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan menipu kakak kandungnya sendiri dengan menyamar sebagai ah long sehingga kerugiaan lebih RM61,000, Disember lalu.
Tertuduh Johari Mokhtar ,49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A.Raof.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa telah menipu kakak kandungnya Rogayah ,57, dengan memperdaya bagi mempercayai bahawa tertuduh adalah ah long sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM61,500 kepada tertuduh melalui akaun bank yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan AU 2A Taman Sri Keramat di sini pukul 6 petang pada 17 Disember lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE










