KEMAMAN – Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman telah mengeluarkan 136 notis amaran kepada pelanggan yang masih engkar larangan merokok di semua premis makanan sejak hari pertama penguatkuasaannya pada 1 Januari lalu.
Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd. Anuar Abd. Rahman berkata, sehingga semalam, pasukan penguat kuasa PKD daerah telah melakukan pemeriksaan rambang di 230 premis makanan di seluruh daerah tersebut.
“Pasukan penguat kuasa PKD Kemaman juga telah memberi nasihat dan mengedarkan risalah bagi meningkatkan kesedaran terhadap penguatkuasaan larangan merokok itu kepada pelanggan-pelanggan semua premis terlibat.
“Selain pendekatan penguatkuasaan pendidikan, kami juga memantau pematuhan arahan pemasangan larangan merokok dalam kalangan pengusaha premis makanan termasuk warung di daerah ini,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Anuar berkata, pihaknya turut mengambil pendekatan serampang dua mata mempromosikan perkhidmatan bantuan berhenti merokok yang ditawarkan PKD Kemaman.
“Perokok di daerah ini yang mahu mendapatkan khidmat nasihat berkaitan usaha untuk berhenti merokok boleh mengunjungi Klinik Kesihatan Batu 2 1/2 Jalan Air Puteh di sini pada setiap pagi Khamis,” katanya. – K! ONLINE










