Macam kena cucuk lembing panas - Utusan Malaysia

Macam kena cucuk lembing panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SELEPAS waktu asar membawa ke maghrib perut saya akan membesar seperti belon. Waktu itu bahagian belakang akan sakit seperti dicucuk lembing panas membara. Tak tahulah apa nak jadi,” kata Awie membuka cerita keadaan semasanya.

Bukan mudah untuknya mengharung kesakitan. Bergelut dengan derita yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, bukan satu hal yang indah untuk diceritakan kepada umum.

Namun sebagai lelaki dia perlu kuat sementelah ini bukanlah kali pertama dia berhadapan dengan kesakitan sebegini. Cuma kesakitan kali ini membuatkan dia terlantar lebih 10 hari di katil hospital.

Menceritakan tentang seksa yang dialami, Awie mendedahkan dia sudah ‘separuh mati’ selama tiga hari di rumah sebelum itu. Kesukaran bernafas dan rasa mencucuk-cucuk di bahagian perut membuatkan anak-anak ketakutan.

“Mereka ingat saya sudah nak mati apabila susah bernafas dan beberapa kesakitan lain. Bila keadaan makin teruk barulah mereka hantar saya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Saya sudah menjalani beberapa prosedur bagi mengesan punca termasuklah proses endoskopi bagi mencari masalah sebenar. Tapi sampai ke sudah doktor tidak menjumpai sebab khusus keadaan itu berlaku.

“Doktor kata semuanya okey sahaja dan saya tiada penyakit kronik. Tapi ada ketika bahagian rusuk kiri sakit macam kena tumbuk. Entahlah, saya pun tak tahu apa masalah sebenar,” katanya ketika ditemui Rabu lalu.

Turut hadir Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) Datuk DJ Dave, Ketua Pegawai Eksekutif MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar dan Presiden Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Ditanya adakah kesakitan yang dialami berpunca daripada perbuatan mistik dan sihir, dia sendiri tidak menolak perkara berkenaan. Sebelum ini pun Awie sudah beberapa kali terkena mangsa ilmu hitam namun berjaya diubati.

Ketika berada di hospital dia sendiri sukar untuk tidur sehingga terpaksa diberikan beberapa jenis ubat dalam dos yang tinggi bagi mengurangkan kesakitan.

“Sampai ke tahap ini saya lalui, nak tidur pun susah. Ada kala doktor terpaksa bagi ubat tahan sakit yang paling kuat. Saya pun tak tahu apa lagi yang tak kena.

“Mungkin dugaan ini Allah beri untuk menguji iman saya. Saya reda namun tetap berusaha untuk kembali pulih dan mencari rezeki seperti dahulu,” tambahnya.

TIDAK mahu terus duduk lama di dalam hospital, Awie mahu segera keluar bagi mencari rawatan alternatif terhadap penyakitnya itu. Dia sudah berhubung dengan beberapa orang ustaz dan pengamal perubatan tradisional bagi membantunya.

“Saya tak boleh terus nak harapkan kepada ubat moden semata-mata memandangkan sebelum ini pun saya gunakan cara alternatif. Jadi kali ini kena cepat bertindak agar dapat melawan kesakitan.

“Untungnya ada beberapa rakan mencari penawar termasuklah memberikan air penawar dan ubat-ubat tradisional. Cuma setakat ini ada berkurangan tapi tidak sepenuhnya,” katanya.

Ditanya adakah dia mempunyai musuh yang iri hati terhadapnya, Awie hanya terdiam menyambut pertanyaan itu. Tidak mahu menuduh siapakah yang iri hati terhadapnya dan keluarga, dia hanya mahu segera mengakhiri penderitaan ini.

Jelasnya, perubahan gaya hidup sudah bermula sejak dia mengerjakan umrah kira-kira sebulan yang lalu. Dia sendiri sejak awal sudah memohon ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan sebelum berangkat ke sana.

“Saya sempat memohon ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan sebelum ke sana. Bila saya ikhlas untuk berubah dan mahu kembali ke jalan yang lurus, ini pula yang saya terima.

“Perubahan tidak bermakna saya mahu menjadi ustaz. Saya hanya mahu menjadi orang biasa yang hidup bahagia bersama dengan keluarga sahaja. Bukan mudah untuk berubah memandangkan ujian yang diterima juga hebat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Awie meminta doa daripada peminat untuk dia kembali pulih seperti dahulu dan dijauhi kisah-kisah khurafat. Dia berharap doa mereka dapat membantu dirinya keluar daripada kesakitan yang dihadapi.

“Tolong doakan saya untuk kembali pulih seperti sedia kala. Kalau ada tempat untuk berubat secara alternatif beritahu. Saya mahu terus berikhtiar untuk kembali pulih,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×