KUALA KEDAH 29 Dis. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap dengan cara apa sekali pun pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24 perlu segera ditangkap.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, semua pihak khususnya keluarga dan rakan-rakan Muhammad Adib sangat berharap pembelaaan terhadap kematian anggota bomba itu dapat ditegakkan.
Katanya, meskipun situasi dalam kes Muhammad Adib ini dilihat rumit namun beliau yakin dan percaya pihak berkuasa akan dapat menjejaki pembunuhnya dalam tempoh terdekat ini.
“Kita kena segera buru pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian Muhammad Adib ini. Dengan cara apa sekali pun, pembunuh ini mesti ditangkap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga Muhammad Adib di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah, di sini hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, Abdul Fattah turut memberi sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM10,000 dan barangan keperluan harian kepada keluarga anggota bomba tersebut.
Khamis lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa majistret akan diarah melakukan satu inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.
Muhyiddin dilaporkan berkata, perkara berkenaan dimaklumkan sendiri Peguam Negara Tommy Thomas kepadanya melalui perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu pihak polis melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, pemergian Muhammad Adib sememangnya diratapi oleh seluruh rakyat kerana pemergiannya ketika bertugas menjaga keamanan negara.
“Oleh yang demikian ramai yang berharap pembelaan dapat ditegakkan dalam kes anggota bomba ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










