KANGAR 29 Dis. – Pelantikan Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden PKR tidak sepatutnya menjadi isu kerana Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak berbuat demikian.
Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, beliau juga tidak melihat perlantikan Rafizi itu boleh mengundang perpecahan di dalam parti.
Katanya, meskipun Rafizi kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini namun beliau tetap dilihat sebagai pemimpin yang mempunyai sumbangan tertentu
di dalam parti.
“Itu adalah pilihan presiden dengan rundingan bersama pemimpin lain. Tentulah dalam sistem politik kuasa lebih kepada presiden dan begitu juga dalam kerajaan kuasa diberi kepada Perdana Menteri.
“Dan jawatan lantikan ini sememangnya ada di dalam perlembagaan parti dan tidak menjadi masalah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mempertikaikan pelantikan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti seperti yang diumumkan semalam yang disifatkan membelakangkan pandangan akar umbi.
Mohamed Azmin dilaporkan berkata, parti perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar.
Malah, beliau turut menggesa Anwar meneliti semula pelantikan jawatan-jawatan utama berkenaan.
Sementara itu, Noor Amin yang juga Ketua PKR Cabang Kangar berkata, pandangan Azmin berkaitan isu itu tidak menjadi masalah kerana tidak semua perkara dipersetujui semua pihak. – UTUSAN ONLINE










