PUTRAJAYA 29 Dis – Bukan biasa-biasa, itu yang boleh dikatakan apabila ada perwakilan yang menerima cenderamata beg berjenama Herschel di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beg berjenama dari Kanada itu dianggarkan berharga antara RM250 hingga RM300 bergantung kepada saiz dan rekaan, bagaimanapun tidak dapat dipastikan beg yang diterima oleh perwakilan itu asli atau pun tidak.
Difahamkan, sebanyak lapan orang daripada setiap bahagian yang menghadiri perhimpunan berkenaan menerima beg berlainan saiz dengan rekaan yang berwarna biru, kelabu, hitam dan merah itu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati di bahagian belakang beg berjenama itu, tertera logo Bersatu serta tulisan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Yang Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Sementara itu, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun ketika ditanya mengenai beg berkenaan memaklumkan beliau tidak tahu menahu mengenai beg berkenaan dan enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak boleh komen sebab saya tidak dapat lagi, mungkin beg itu dari perwakilan-perwakilan tertentu,” katanya dalam sidang akhbar selepas ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi dan Armada 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini
Dalam pada itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga memaklumkan beliau tidak tahu mengenai pemberian beg berkenaan sebagai cenderamata.
“Saya tengok tiada seorang pun perwakilan Armada terima beg itu, kalau ada saya sudah tegur,” katanya. – UTUSAN ONLINE










