Azam baharu Sharapova - Utusan Malaysia

Azam baharu Sharapova

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Pemain tenis Rusia, Maria Sharapova mahu melupakan episod duka mengenai kecederaan bahu yang menimpanya pada musim 2018 apabila bertekad untuk bangkit mencari rentak kemenangan semula pada saingan musim depan.

Sharapova membuat keputusan untuk menyertai perlawanan pembukaan musim 2019 pada Terbuka Shenzen Januari nanti, sekali gus berharap dapat mengembalikan semula reputasinya sebagai antara bintang tenis wanita suatu masa dahulu.

Pada September lalu, Sharapova gagal bermain dengan baik selepas mengalami kecederaan ketika beraksi di Terbuka Amerika Syarikat (AS) di mana dia tewas kepada Carla Suarez Navarro pada pusingan keempat.

“Saya sangat teruja kerana mampu kembali menyertai kejohanan ini selepas berehat untuk tempoh yang agak lama akibat kecederaan bahu.

“Mungkin pada perlawanan pertama nanti, saya tidak mampu bermain dengan baik. Tetapi saya akan cuba untuk memperbaiki prestasi saya pada setiap perlawanan sepanjang musim 2019 nanti.

“Apabila turun ke dalam gelanggang, saya harap dapat mengembalikan semula semangat dan fokus saya.

“Saya tahu apa yang perlu dilakukan dan akan cuba bermain dengan lebih baik. Jika mara ke pentas final, ia adalah satu bonus bagi saya,” kata Sharapova.

Pada edisi tahun lalu, Sharapova tampil dengan aksi yang baik apabila berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Shenzhen sebelum tewas kepada Katerina Siniakova. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×