PERJALANAN hidup tidak pernah sunyi daripada ujian dan dugaan. Tidak ada sesiapa pun meminta diuji dengan dugaan yang berat. Namun, itu yang menimpa Daniel Arif Ahmad Fuad, 21.
Anak muda ini gigih mencari rezeki di sebuah kilang kitar semula di Samseong, Seoul, Korea Selatan. Baru dua bulan menjejakkan kaki ke negara itu, ternyata perhitungannya untuk mengumpul wang tidak kesampaian. Takdir Allah menentukan ketika sibuk bekerja, mesin pengisar terhenti akibat sampah tersangkut.
Sebagai pekerja baru dan patuh arahan penyelia, Daniel berusaha membuang sampah yang melekat itu. Namun, mesin yang tadinya terhenti tiba-tiba, bergerak semula sekali gus ‘membaham’ separuh badan Daniel.
Jeritan kuat anak muda ini mengejutkan penyelia dan rakan-rakan yang kemudian sepantas kilat menekan suis kecemasan. Tindakan pantas itu menyelamatkan keseluruhan badan Daniel daripada dikisar mesin berkenaan.
Sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seoul, Daniel reda dengan apa yang berlaku. Mungkin di sebalik ujian ini tersimpan 1,001 hikmah yang tidak pernah diduga.
Tabah terima takdir
TIDAK ada apa yang mahu difikirkan selain daripada mengikut arahan yang diberikan oleh penyelia kilang kepadanya agar turun ke dalam mesin pengisar barangan kitar semula setelah alat tersebut gagal berfungsi secara tiba-tiba.
Tanpa mahu membantah dan tidak mahu menunjukkan rasa kurang hormat kepada penyelia yang sudah lama bekerja di kilang tersebut berbanding dirinya yang baru dua bulan bertugas di kilang itu yang terletak ibu negara Korea Selatan, dia terjun ke dalam ‘perut’ pengisar tersebut tanpa sebarang rasa keraguan.
Selain telah dimaklumkan bahawa suis mesin pengisar telah dipadamkan, tiada apa lagi yang perlu dirisaukan melainkan mengikut kehendak penyelia yang mahukan sampah terlekat dialihkan sekali gus membolehkan mesin pengisar kembali berfungsi.
Sementelah berada di negara orang dan jauh di perantauan adalah lebih manis untuknya menghormati masyarakat setempat, selain menunjukkan imej bersih bahawa rakyat Malaysia seorang yang patuh dan tidak ingkar arahan.

Maka dengan tenang, Daniel Arif melompat masuk ke dalam mesin pengisar bagi melaksanakan tugas yang diberikan dan mula menolak sebahagian sampah yang tersekat pada mata pengisar.
Ketika anak kelahiran Pulau Pinang itu sedang sibuk mengalihkan sebahagian sampah yang terlekat, beberapa petugas lain di kilang kitar semula di Samseong, Seoul itu pula berusaha memperbaiki mesin tersebut.
Namun, nasib malang menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu apabila tidak semena-mena mesin pengisar sampah berputar.
Daniel yang masih berada di dalam mesin pemutar sampah terkejut dengan situasi yang tidak diduga itu dan tidak sempat melompat keluar daripada situasi bahaya itu. Lantaran itu, kakinya ‘disedut’ oleh mata bilah pengisar sampah.
Hanya Allah yang tahu betapa dia begitu terseksa apabila kedua-dua kakinya dimamah mesin pengisar. Dia menjerit sekuat hati dan berusaha meminta pertolongan daripada sahabat dan petugas kilang yang berada berhampiran.
Tindakan pantas penyelia kilang menekan suis kecemasan bagi memberhentikan jentera kilang kitar semula itu menyelamatkan keseluruhan badan Daniel daripada dimamah mesin pengisar itu. Melihat separuh badan Daniel berada di dalam mesin pengisar, pihak kilang terus menghubungi ambulans. Tindakan bomba yang cepat tiba ternyata berjaya menyelamatkan nyawa Daniel.
Meskipun kini masih dirawat dan bakal menjalani beberapa siri pembedahan lanjutan di Hospital Universiti Ajou di Suwon, Daniel begitu bersyukur kepada Allah yang masih berkehendak untuknya kekal bernafas dan meneruskan kehidupan.
Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku biarpun bakal menempuh satu episod paling sukar dalam kehidupan selepas ini.
“Saya terima ketentuan Ilahi ini. Allah mahu menguji keimanan saya. Reda atas apa yang telah berlaku dan berharap saya tabah melalui ujian ini,” kata Daniel.

Bersyukur
“Saya bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang sangat menyayangi diri ini. Mereka sanggup ke Seoul untuk berada di samping saya biarpun terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk datang. Perkara ini sangat memberi kesan kepada saya, mereka adalah segala-galanya bagi saya,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Mega Utusan.
Menurutnya, dia berusaha untuk menjadi seorang insan yang cekal dan tidak mudah mengalah biarpun selepas ini bergelar orang kurang upaya (OKU).
Jelasnya, apa yang penting dia perlu menguatkan semangat dan bersikap positif pada setiap masa, malah sejauhnya cuba membuang pemikiran bahawa dia kini tidak lagi berupaya seperti sebelum ini.
Tegasnya, dia yakin mampu berdikari dan boleh terus membantu keluarga lantaran merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
“Saya yakin masih boleh berbakti kepada keluarga terutama kepada kedua ibu bapa tercinta. Apa yang boleh saya harapkan, semoga ada pihak yang sedia membantu saya menjalankan sebarang aktiviti perniagaan bagi menjana pendapatan sendiri seterusnya berbakti kepada keluarga.
“Saya sama sekali tidak akan mengaku kalah. Tidak ada apa yang boleh menghalang kita daripada mencipta kejayaan biarpun kekurangan anggota fizikal. Allah mahu kita berusaha dan Tuhan sayang kepada mereka yang rajin berusaha. Insya-Allah, saya yakin dengan diri dan boleh mencipta kejayaan. Doakan saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Luruh jiwa lihat keadaan anak
DUNIA bagaikan gelap seketika. Perkhabaran yang baru diterima dari Korea Selatan begitu menggoncang jiwanya. Bagai menyentap semangat kelakiannya, Ahmad Fuad Yun, 52, menggagahkan diri untuk menerima suratan takdir yang menimpa anak sulungnya, Daniel Arif, 21.
Dia harus menerima hakikat bahawa anak lelakinya itu kini dilanda musibah besar dan satu ujian berat bakal ditanggung oleh Daniel selepas ini bagi menempuh kehidupan mendatang.
Selepas mendapat perkhabaran bahawa Daniel kehilangan kedua-dua belah kaki akibat digilis mesin pengisar barangan kitar semula, Ahmad Fuad dan isteri, Zainah Mohamad bergegas mendapatkan tiket penerbangan ke Seoul.
Sepanjang penerbangan ke Korea Selatan, dia dan isteri tidak henti-henti mendoakan kesejahteraan dan kebaikan buat anak tersayang yang berada dalam bilik kecemasan di Hospital Universiti Ajou di Suwon.
Debaran serta kesedihan yang teramat sangat seakan-akan hilang apabila melihat wajah tenang Daniel biarpun masih ‘lena’ menerima rawatan.
Malah, jiwa menjadi semakin tenang apabila Daniel sudah sedar dan mengucapkan selamat datang, seakan-akan anak lelakinya itu tidak mengalami sebarang kesakitan.
“Allah sahaja yang tahu betapa terkejut, sedih dan bimbangnya saya, isteri serta ahli keluarga lain apabila menerima perkhabaran bahawa Daniel ditimpa musibah besar yang sama sekali kami tidak jangkakan.
“Namun kami tetap bersyukur kerana Allah masih memanjangkan usia Daniel dan memberi kesempatan kepada kami untuk bertemu dengannya lagi,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Mega Utusan.
Menjelaskan situasi terkini Daniel, Ahmad Fuad berkata, anaknya itu berada dalam keadaan stabil, namun bakal berhadapan dengan beberapa lagi sesi pembedahan susulan.
Katanya, pembedahan tersebut perlu dilakukan bagi membuang tisu kulit yang rosak sekali gus memastikan kecederaan yang dialami Daniel boleh pulih sepenuhnya.
Ditanya berapa lagi pembedahan yang harus ditempuh oleh Daniel, katanya, perkara itu bergantung kepada keadaan tisu kulit dan tulang kaki anaknya itu.
Jelasnya, Daniel mengalami kecederaan parah apabila hampir keseluruhan bahagian kakinya hancur iaitu bermula dari bahagian paha dan ke bawah.
“Keadaan fizikalnya adalah dia bakal kehilangan kedua-dua belah kaki. Segala-galanya kami serahkan kepada pihak hospital di sini untuk melakukan yang terbaik buat Daniel,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kos perbelanjaan di Korea Selatan, Ahmad Fuad berkata, dia telah membelanjakan sekitar RM7,000 termasuk membeli tiket penerbangan ke Seoul.
Menurutnya, dia bernasib baik apabila mendapat bantuan dan sumbangan daripada orang ramai selain pihak majikan Daniel bermurah hati menyediakan tempat tinggal buat dia dan isteri.
“Sementara itu, urusan pampasan sedang saya uruskan dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, manakala bil hospital akan ditanggung oleh pihak majikan Daniel,” katanya.
Tambahnya, dia dan isteri kemungkinan besar akan berada di Korea Selatan dalam sedikit masa lagi sehingga urusan hospital Daniel selesai sepenuhnya.
Katanya, dua minggu lagi Daniel akan menjalani pembedahan plastik untuk menggantikan sel-selnya yang rosak. Dia berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan segera buat Daniel.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan ke akaun Maybank bernombor 157090003447 di atas nama ibu Daniel, Zainah Mohamad.-UTUSAN ONLINE










