KUALA LUMPUR 28 Dis. – Kaji selidik Invoke Malaysia diterajui bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah menjunam disifatkan sebagai `haprak’ dan mempunyai agenda tersendiri.
Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ini kerana, kaji selidik yang dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bercanggah dengan keputusan tinjauan Rafizi.
Ujar beliau, sebenarnya beberapa dapatan kaji selidik Invoke telah terbukti sebagai tiada berasas kerana apa yang diramalkan Rafizi adalah berbeza dengan keputusan hakiki.
“Tetapi itu adalah haknya, kadang-kala Rafizi Ramli ini retorikal semata-mata. Sebab itu banyak kes-kes saman malu terhadap beliau di mahkamah berakhir dengan keputusan Rafizi kena bayar ganti rugi.
“Kadang-kadang saya terasa hendak minta borang-borang kaji selidik Invoke untuk melihat sendiri hasil kajiannya bagi membuat analisis mengenai kesahihannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam keputusan tinjauan UIAM merumuskan tiada perubahan ketara pada tahap kepuasan hati rakyat terhadap Dr. Mahathir sebagai pemimpin politik dan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai parti yang memerintah sejak Ogos lepas.
Sebelum ini, Rafizi melalui Invoke mendakwa tahap kepuasan hati orang ramai terhadap Perdana Menteri telah menjunam jatuh. – UTUSAN ONLINE










