Majlis Agama Islam perlu berperanan sebagai dewan pemikiran, pentadbiran Islam - Utusan Malaysia

Majlis Agama Islam perlu berperanan sebagai dewan pemikiran, pentadbiran Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 28 Dis. – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya Majlis Agama Islam sewajibnya berfungsi sebagai sebuah dewan pemikiran dan pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan langsung Yang di-Pertuan Agong.

Baginda bertitah, Majlis Agama Islam juga perlu berperanan sebagai jambatan penghubung antara umat Islam dengan Raja Pemerintah, antara umat Islam dengan kerajaan pilihan rakyat, dan antara umat Islam dengan warga bukan Islam. 

Sehubungan itu, titah baginda, kesetiaan ahli-ahli Majlis Agama Islam yang telah diperkenankan lantikan adalah kepada Yang di-Pertuan Agong dan titah perkenan Baginda wajib diperoleh sebelum sesuatu dasar, arahan dan kegiatan mengenai Islam mahu dilaksanakan.   

Titah Sultan Nazrin lagi, ahli-ahli Majlis Agama Islam wajib melakukan perekayasaan, membawa minda keluar, merangka rancangan dan tindakan yang lebih substantif demi kemuliaan sinar Islam dan demi membela martabat umat Islam.

“Peranan Majlis wajib diluaskan, dimerdekakan daripada minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris.  

“Peranan Majlis hendaklah ditakrif secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran dan tenaga pelaksana berwibawa, untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam majlis pengurniaan watikah pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Hakim serta Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang di sini hari ini.

Titah baginda lagi, walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara, selagi tindak tanduk Majlis Agama Islam tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, negara hendaklah mengiktirafnya sebagai sebuah institusi yang berperanan penting untuk menjamin kelangsungan Islam dan survival ummah.

Baginda bertitah, dalam suasana umat Islam kelihatan berterusan berselisih pendirian, dan dalam senario ukhuwah sesama umat Islam terbayang semakin retak, Majlis Agama Islam hendaklah mengambil tanggungjawab, sebagai instrumen penyatuan ummah.

“Majlis Agama Islam hendaklah bebas daripada sebarang agenda politik kepartian, yang dianggap berpihak dan berat sebelah, supaya peranan Majlis dilihat neutral, lantas dapat diterima tanpa prejudis, tanpa prasangka oleh majoriti umat Islam,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×