Mazeri, isteri tinggalkan pokok getah kerana kecewa - Utusan Malaysia

Mazeri, isteri tinggalkan pokok getah kerana kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 27 Dis. – Kecewa dengan harga getah yang rendah sehingga tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga, sepasang suami isteri di Kampung Batu Papan di sini mengambil keputusan berhenti melakukan kerja menoreh lebih setahun lalu.

Mazeri Che Omar, 52, dan isterinya, Samsiah Mat Salleh, 48, mengambil keputusan melibatkan diri dalam perniagaan secara kecil-kecilan dengan membuka gerai jualan makanan dan minuman di hadapan rumah mereka untuk menjana pendapatan.

Mazeri berkata, mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pendapatan menoreh getah selepas harga komoditi itu semakin jatuh.

“Kalau musim buah, kami berniaga buah dan tidak lagi menumpukan pekerjaan dengan hanya menoreh getah.

“Pendapatan getah memang teruk sangat kerana harga tidak pernah mencapai RM5 sekilogram. Kalau nak dikira dengan sara hidup kini, memang jauh tak boleh menampunglah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mazeri berkata, pada musim tengkujuh ini mereka langsung tidak dapat menoreh.

Mengimbau kembali penga­lamannya ketika menjadi penoreh ketika musim tengkujuh, Mazeri berkata, dia pernah meminjam wang daripada ahli keluarganya akibat kesempitan hidup.

Menurutnya, dia bernasib baik apabila mendapat ahli keluarga yang memahami dan membantu.

“Bayangkan, jika musim tengkujuh, kita nak dapatkan 10 hari menoreh pun belum tentu. Saya terpaksa meminjam wang daripada ahli keluarga terdekat untuk menampung perbelanjaan lima anak yang masih belajar.

“Namun, kini kami bersyu­kur apabila aktiviti perniagaan di hadapan rumah kami ini semakin mendapat sambutan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×