Ke mana langkah Akhyar? - Utusan Malaysia

Ke mana langkah Akhyar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 27 DIS. – Hati Akhyar Rashid jelas tidak lagi bersama Lang Merah, namun Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) enggan melepaskan penyerang remaja itu dengan mudah dan bersedia mencabar keputusan Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

FAM hari ini mengumumkan, Jawatankuasa Rayuan yang bermesyuarat semalam mengekalkan keputusan penyerang berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar RM210,000 bagi menebus baki kontrak bersama KFA untuk membolehkannya berhijrah ke pasukan baharu.

Mana-mana pasukan yang menjadi pilihan Akhyar pula perlu membayar pampasan RM75,000 kepada KFA.

KFA bagaimanapun menegaskan, keputusan itu tidak adil buat mereka, apatah lagi ia dibuat tanpa melakukan perbincangan antara dua pihak.

“Dalam mesyuarat semalam, KFA tidak dipanggil untuk berbincang sebaliknya hanya dimaklumkan tentang keputusan yang sudah dibuat.

“Sebarang permintaan terhadap keputusan itu hendaklah dibuat secara bertulis dalam tempoh 10 hari.

“Oleh itu, KFA akan mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan hak,” kata Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris kepada Utusan Malaysia.

Menurut Asmirul lagi, selagi isu Akhyar tidak selesai, Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018 itu masih milik Lang Merah dan wajib melapor diri pada 1 Januari, 2019.

Kontrak Akhyar, yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perlis hanya akan berakhir pada 30 November, 2019.

Sementara itu, Jawatankuasa Rayuan FAM yang dipengerusikan Datuk Seri Mohd. Mokhtar Shariff semalam berkata, jumlah RM210,000 yang perlu dibayar adalah berdasarkan gaji Akhyar didarab dengan baki kontraknya bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.

“Jumlah RM75,000 pula adalah dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM,” menurut kenyataan FAM itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×