Warkah paling ringkas, kesan paling besar - Mufti Perlis - Utusan Malaysia

Warkah paling ringkas, kesan paling besar – Mufti Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Topik mengenai warkah atau penulisan surat terus mendapat perhatian. Terkini, Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut mencoret mengenai warkah paling ringkas yang pernah ditulis dalam sejarah namun memberi kesan yang amat mendalam.

Dr. Mohd. Asri menjelaskan warkah berkenaan ditulis oleh komander tentera Islam yang hebat Khalid bin al-Walid yang diutuskan kepada seorang panglima perang, ‘Iyadh bin Ghanam al-Fihri.

Menurut beliau, seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, selepas Peperangan ‘Ain al-Tamr, Khalid mengutuskan surat kepada ‘Iyadh meminta bantuan tentera.

“Hanya dua kalimah dalam Bahasa Arab sahaja خالد إلى عياض: إياك أريد bermaksud ‘Khalid kepada ‘Iyadh: Engkau aku mahu’. Demikianlah ringkasnya. Namun kesannya besar sebab kena pada tempat, masa dan sasaran.

“Demikianlah bahasa para pejuang di medan perang yang penuh kesibukan dengan urusan dan tiada masa berpuitis dalam suasana itu,” jelas Dr. Mohd. Asri.

Dalam hantaran di Facebooknya hari ini, Dr. Mohd. Asri berkata, permainan bahasa sangat penting namun hendaklah tepat mengenai sasaran.

Dalam istilah Arab dikenali sebagai ‘balagha’ yang bererti tujuan keindahan bahasa supaya ia berkesan secara mendalam di jiwa yang menjadi sasaran ungkapan.

“Maka, elakkanlah bahasa yang salah tempatnya dan tempat yang salah bahasanya. Semak diri kita yang mengucapkan dan diri yang disasar ungkapan kepadanya.

“Kenali juga konteks semasa ungkapan itu diluahkan. Inilah yang kita semua wajar lakukan,” nasihat  Dr. Mohd. Asri.

Sejak semalam surat terbuka ‘Warkah dari Cordova untuk Nurul Izzah’ yang dikarang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menjadi perhatian umum.

Ini berikutan penggunaan bahasa ganti diri kekanda dan adinda yang digunakan oleh Dr. Mujahid untuk dirinya dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar itu dianggap warganet sebagai tidak sesuai.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×