ALOR SETAR – Seorang remaja lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki baju hujan yang mempunyai lambang polis awal bulan ini.
Tertuduh, Monsur Redowan, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Md. Ruslan.
Monsur dituduh memiliki baju hujan berlambang polis yang ditemui di dalam raga motosikal ditungganginya di Jalan Gunung Keriang di sini kira-kira pukul 2.30 pagi, 4 Disember lalu.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Nabilah membenarkan tertuduh yang tidak bekerja itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Kes akan disebut semula pada 7 Februari 2019.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun sementara tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE










